Teka-teki mengenai siapakah hos Melodi terjawab jua apabila Awal Ashaari telah ditetapkan sebagai hos gandingan bersama Zizan Razak bagi rancangan hiburan popular ini yang ke udara pada setiap Ahad, di TV3.
Menurut En. Azman Abd Gafar melalui siaran media kepada OHBULAN, “Selepas perbincangan dalaman dan berdasarkan sesi pemilihan calon pengantara yang telah dilakukan beberapa bulan sebelum ini, pertukaran muka hadapan Melodi adalah satu langkah strategik dan wajar dilakukan. Kami yakin bakat dan potensi yang ada pada Zizan dan Awal kerana mereka mampu mengendalikan rancangan dengan keunikan dan stail tersendiri dalam meredakan suasana setelah paparan panas dan sensasi dihidangkan.
“Kami juga percaya setiap pengacara dianugerahkan dengan bakat yang berbeza dan mempunyai kelompok peminatnya tersendiri. Bukan sekadar bertumpu kepada gurauan dan usikan semata-mata, jika diberi peluang, gandingan Zizan dan Awal mampu menyerikan program ini dengan corak pengacaraan yang sudah sebati dengan penonton.”
Penerbit Melodi ini turut mengucapkan terima kasih kepada Dira Abu Zahar di atas komitmen yang diberikan sepanjang menjayakan rancangan ini.
“Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Dira Abu Zahar yang sentiasa komited bersama kami sejak Mac tahun lalu hinggalah ke penghujung bulan Mei ini. Selepas berbincang dan melalui persetujuan bersama, kami akur dan menerima keputusan Dira untuk megundur diri kerana ingin lebih menumpukan masa dan tanggungjawab kepada pelajaran dan juga perniagaannya. Pihak produksi dan TV3 akan terus menyokong Dira yang sememangnya berbakat bukan sahaja di dalam bidang pengacaraan malah juga lakonan.”
Selain itu, pihak penerbit berharap agar para peminat dapat menolak segala tanggapan negatif bahawa berlakunya ketidaksefahaman antara pihak terbabit. Katanya, perubahan hos perlu dilakukan demi memastikan penjenamaan Melodi dan pengisian kandungannya akan terus diperbaharui, relevan dan menepati kehendak citarasa jutaan penonton.
Tambahnya lagi, “Pertukaran pengacara sepatutnya tidak menjadi isu sementelaah ianya merupakan satu tradisi yang positif.”