Sesetengah lelaki sebelum berkahwin, macam-macam janji serta kata manis ingin dikotakan tetapi bila sudah berumah tangga lain pula jadinya. Jika nak diikutkan pelbagai kisah kami kongsikan mengenai isu suami yang tidak bertanggungjawab. Terbaru, lagi satu cerita mengenai suami ‘Psycho’ apabila sanggup mengasari isteri dan ibu mertua. Kes ini dilaporkan berlaku di Terbrau, Johor.
Perbelanjaan keluarga banyak ditanggung oleh ibu
Seorang isteri bernama Huda (22 tahun) mendakwa suaminya menceroboh rumah sewa ibunya di Terbrau pada 7 April lalu. Ibu kepada dua cahaya mata berusia dua dan empat tahun itu juga berkata bahawa suami turut mengasarinya. Tambah Huda, perkara itu bukanlah kali pertama berlaku padanya. Mereka juga sudah tidak tinggal sebumbung sejak setahun lalu.
Bila saya tak nak beri duit untuk beli rokok, suami terus memukul kepala dan nyaris mencederakan adik lelaki saya.
Apabila ibu menegurnya, suami saya menendang perut ibu dan memaki hamun. Malah, suami saya menceroboh rumah ibu tiga hari berturut-turut.
Saya dan ibu sudah membuat lebih 10 laporan polis terhadap suami. Saya sudah memberi banyak ruang dan peluang untuk dia berubah sikap tetapi tidak dihargai apabila terus menimbulkan masalah.
Sejak berumah tangga kira-kira lima tahun lalu, perbelanjaan keluarga termasuk susu dan lampin anak kerap ditanggung ibu yang bekerja di pasar pagi.
Suami saya yang bekerja di kilang perabot langsung tidak menghiraukan soal kami.
Diburu pemungut hutang, adik alami tekanan perasaan
Selain itu, Huda pernah jadi sasaran ugutan pemungut hutang yang menuntut bayaran RM2,000 dipinjam suami dan susulan dengan perkara tersebut, Huda tidak teragak untuk membuat laporan polis pada 5 November tahun lalu di Balai Polis Pelangi Indah.
Mengenai kejadian pada 7 April lalu, adik Huda yang berusia 19 tahun nyaris disimbah air panas serta dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat tekanan perasaan. Huda turut mendakwa diugut akan dibunuh oleh suami dan kini dia membawa anaknya menumpang di rumah rakan manakala ibunya pula terpaksa berlindung di surau.
Saya harap pihak polis menjalankan siasatan kerana saya bimbang suami mengulangi perbuatannya.
Berhubung isu itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata semakan telah dilakukan dan mendapati lima laporan polis dibuat mengenai kejadian keganasan rumah tangga.
Tiga laporan dibuat oleh seorang wanita berusia 42 tahun, manakala dua dilakukan oleh suri rumah berusia 22 tahun.
Siasatan masih dilakukan dan kita giat mengesan suspek.
Sumber: Berita Harian