Memandangkan tidak lama lagi seluruh rakyat Malaysia akan keluar mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang bakal diadakan pada bulan Mei ini, oleh itu selaku selebriti yang berpengaruh, Adibah Noor turut akui merasa penangan isu tersebut.
Menurut penyanyi serta pengacara terkenal ini, dirinya sendiri pernah dilamar untuk terlibat dalam salah sebuah aktiviti politik, akan tetapi dia menolak tawaran tersebut secara baik.
“Ada juga yang bagi tawaran, tapi saya cakap saya tak boleh buat macam itu sebab saya bukannya pandai sangat dengan bab-bab politik. Cuma kadang-kadang saya nak praktis dan menyuarakan sahaja bukannya cakap awak kena sokong mana-mana parti sebab ia telus ataupun tidak.
“Lagipun undi itu kan rahsia. Jadi saya rasa, biarlah ia kekal rahsia.”
Apabila Adibah Noor mengeluarkan kenyataan bahawa undi adalah satu rahsia, jadi timbul persoalan dikalangan pihak media, betulkah ianya kini masih dianggap sebagai rahsia memandangkan kebanyakan orang awam, walhal artis sendiri sekarang ini semakin berani mendedahkan parti mana yang mereka sokong, sehingga ada yang sanggup berkempen dan melibatkan diri dengan mana-mana ceramah politik.
“Itulah, memang kadang-kadang saya ada terfikir juga betul ke rahsia. Tapi saya pun tak tahu.
“Lagipun ini baru pertama kali saya mengundi. Saya pun baru sahaja daftar 2,3 tahun lepas. Kalau nak ikutkan sebelum ini saya belum terpanggil dan tak ada kesedaran pun untuk mendaftar sebagai pengundi,” ujar Adibah Noor sambil tergelak kecil.
Mengulas lebih lanjut mengenai hak serta tanggungjawab rakyat Malaysia yang digalakkan untuk mengundi, penyanyi ini akui ramai anak-anak muda sekarang masih kurang faham mengenai isu tersebut, tambahan pula dengan parti politik sekarang yang masing-masing mempunyai dramanya yang tersendiri.
“Saya percaya memang ramai mentaliti anak-anak muda sekarang ramai tak rasa atau terpanggil untuk mendaftar sebagai pengundi, terutama dengan situasi yang macam ini.
“Kalau kita tengok sekarang kedua-duanya pun dah macam sarkas, sampaikan akhirnya kita sendiri tak tahu nak mengundi yang mana satu, ini kan pula anak-anak muda sekarang. Mereka pun ramai yang pening tengok orang-orang tua yang berlagak macam budak-budak kecil terutama mereka yang berbangsa Melayu,” komen Adibah Noor sewaktu bertemu di sidang media konsert ‘3 Permata’ petang semalam.