berita

[TERBARU] Kementerian Kesihatan Keluarkan Senarai 14 Produk Kosmetik Mengandungi Racun

October 9th, 2018 | by Shafika
Isu & Kontroversi

BAHAGIAN Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat 14 jenis produk kosmetik yang terdapat di pasaran dan perlu di elakkan oleh orang ramai. Ini kerana produk terbabit mempunyai bahan kimia yang merbahaya.

14 jenis produk kosmetik

14 produk kosmetik yang perlu dielakkan ialah Diamond Gold Skin Care – Diamond Gold Day Cream; Diamond Gold Skin Care – Diamond Gold Night Cream; Diamond Gold Skin Care – Diamond Gold Treatment Cream; Alora Night Glowing Cream; Karisma Nightcream Kunyit; Karisma Daycream dan Karisma Treatment Sarang Burung.

 Bukan itu saja, produk lain adalah Seputih Melati Night Cream Whitening; Seputih Melati Night Cream Glowing; Majaja Serum Channtiq; SYMA Magical Serum; SYMA Facial Cleanser; Khumaera Moistskin Cleanser dan Bao Shu Tang Snow Lotus Cream.

Boleh meningkatkan risiko kanser kulit

Menerusi Harian Metro, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk yang mengandungi bahan racun yang berjadual sepatutnya perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata.

Bagaimanapun, penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Mampu merosakkan buah pinggang

Tambah beliau lagi, produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri selalunya dijual untuk tujuan anti-penuaan dan tanpa kawalan penggunaannya ia mampu merosakkan buah pinggang.

Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutama kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.

Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit

Dikenakan tindakan undang-undang

Kata beliau lagi, penjual dan pengedar diminta jualan produk terbabit di hentikan serta merta.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat pula, mereka yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

Shafika

Content Champion at Rev Asia Berhad
I'm not fat, I'm just easy to see

SKIP THIS AD ×