Bagai terbangun dari mimpi ngeri. Mungkin ramai di antara kita tidak tahu dengan kisah ‘After The Nightmare‘ yang dihadapi bekas model terkenal 1986 iaitu Marla Hanson. Wajah cantik model kelahiran Missouri, United State ini ditoreh dengan pisau cukur oleh dua individu yang tidak dikenalinya.
Kes ini pernah menggemparkan dunia peragaan US sehingga nama Marla Hanson menjadi bualan ramai. Perbicaraan di mahkamah keadilan juga menjadi perdebatan tegang sebelum suspek tersebut mengaku bersalah.
Malam yang malang
Sumber foto: meaww.com
Menerusi laporan The New York Times, kejadian malang yang menimpa model terkenal itu berlaku pada malam 5 Jun 1986. Lokasi tersebut adalah di parkir kereta berhampiran sebuah kelab.
Marla ketika itu berusia 25 tahun dan namanya menjadi salah satu nama yang sering disebut dalam industri peragaan. Dia juga dilihat mempunyai potensi dan masa depan yang cerah menjadi seorang model berjaya.
Dikhianati juru solek sendiri
Kisah hidupnya berubah apabila dia sendiri dikhianati oleh juru solek sendiri iaitu Steve Roth. Juru solek lelaki itu pernah menawarkan perkhidmatan sewa apartment kepada beberapa orang model yang baru masuk ke dalam industri peragaan.
Steve Roth ketika itu lebih tertarik dengan Marla yang memiliki kecantikan wajah semula jadi, bentuk muka yang kelihatan lebih feminin dan sepasang anak mata berwarna perang gelap.
Marla dikatakan sering mendapat gangguan seksual daripada Steve Roth. Dia membuat keputusan untuk keluar dari apartment milik juru solek lelaki itu. Marla juga berkeras untuk mendapatkan wang deposit sewaan sebanyak 850 Dollar USD dan ingin berpindah kediaman. Dia juga telah membuat laporan polis berhubungan keengganan Steve memulangkan wang deposit.
Didatangi dua lelaki tidak dikenali
Masalah pemulangan wang deposit tersebut dipercayai menjadi punca kepada perbalahan antara mereka berdua. Perkara itu mula berlarutan sehingga Steve mengajak Marla berjumpa di sebuah kelab malam bertujuan memulangkan semula wang deposit tersebut.
Ketika itu, Marla keseorangan berjumpa dengan Steve di kelab malam. Pelbagai helah yang dirancang juru solek itu. Dia memberi alasan untuk memulangkan wang tersebut di luar kelab kerana bimbang orang terlihat Steve menyerahkan wang tersebut kepada Marla.
Marla berjalan sendirian ke arah keretanya yang diletakkan berhampiran kelab tadi. Tanpa diduga, dia didatangi dua individu lelaki yang tidak dikenalinya.
Ditoreh pisau cukur
Kedua tangan Marla di pegang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dari arah belakang. Ketika itu, Marla terlihat Steve hanya berdiri dari jauh tanpa berbuat apa-apa.
Wajah cantik Marla ditoreh dengan sebilah pisau cukur dari arah hadapan. Kemudian, Steve mula bertindak berlakon menjerit untuk ‘menyelamatkan’ Marla dari serangan tersebut.
Steve menghampiri Marla untuk selamatkannya. Namun, bantuan itu ditepis oleh Marla dengan menumbuk bahagian perut Steve. Marla bergegas ke arah jalan untuk mendapatkan teksi. Pemandu teksi terkejut melihat keadaan wajah Marla yang sudah berdarah. Dia mula menghantar Marla ke hospital untuk dapatkan bantuan.
Wajah cantik model itu telah dikenakan sebanyak 100 jahitan dan meninggalkan parut yang mendalam.
Suspek mengaku bersalah
Setelah siasatan dijalankan, pihak polis berjaya mengesan penglibatan jenayah yang dilakukan kedua-dua individu ini susulan laporan dilakukan Marla sebagai mangsa. Penemuan itu juga berjaya mengheret Steve ke muka pengadilan.
Perbicaraan di mahkamah mula tegang apabila hakim menghujahkan aura seksi model itu menjadi faktor kepada gangguan seksual. Dalam perbicaraannya, peguam lawan menuduh Marla dengan sengaja memberi provokasi kepada Steve dengan memakai skirt mini pada malam tersebut dan penampilan seksi sebagai model selama ini membuatkan Steve berasa ‘geram’.
Marla juga dikatakan sengaja memberi tekanan kepada Steve kerana kerap memaksa juru solek itu memulangkan depositnya. Dipercayai laporan polis yang dibuat Marla ke atas Steve telah menyebabkan dia terpaksa melakukan sedemikian.
Bagaimanapun, kedua-dua suspek tadi mengaku bersalah dengan sengaja menoreh wajah model tersebut. Mereka juga didakwa mendapat upah dan disuruh oleh Steve Roth. Kesemua suspek telah dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun.
Marla Hanson kongsi ‘mimpi ngeri’
Sumber: meaww.com, The New York Times, Ephemeral New York, UPI