Kehilangan insan terdekat lebih-lebih lagi ibu tersayang memang sangat ditakuti oleh mana-mana anak sekali pun. Lebih menyedihkan apabila kita kehilangan mereka di saat hari dan waktu yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan seperti hari konvokesyen.
Perkongsian Yuyin Azman ini pastinya bakal menyentuh hati mana-mana insan apabila dia kehilangan ibunya hanya tiga hari sebelum meraikan hari konvokesyennya di sebuah universiti tempatan.
Hilang ibu 3 hari sebelum konvo
Gambar terakhir bersama arwah mak (Azizah Binti Razali), 12 jam sebelum mak pergi jauh.
Orang kata Allah akan uji kita dengan benda yang paling kita takut. Kehilangan, walau dalam bentuk apa pun dan bagaimanapun cara ia mendatangi kita, tetap saja menyakitkan.
Dan kali ini saya kehilangan seorang ibu, 3 hari sebelum majlis graduasi, hari untuk ibu bapa, hari di mana semua anak-anak nak mak ayah datang tengok anak naik pentas terima ijazah. 5 tahun setengah belajar dekat UIA, dari asasi sampai degree, kadang sampai penat nak jawab bila orang tanya dah habis belajar ke belum (belajar dekat UIA memang lama, sebab UIA bukan ajar ilmu duniawi semata walaupun bukan kos agama).
Terima kasih Allah
Mak… mak yang paling excited untuk Ahad ni. Tapi Ahad ni mak yang tak ada, mak sebenarnya dah tahu kan mak tak dapat datang sebab tu mak cakap dekat adik yang mak taknak belikan kakak bunga untuk konvo, tapi mak nak bagi rantai dengan cincin, salah satu rantai tu rantai yang mak selalu pakai.
Berat sangat ujian kali ini Ya Allah. Ya Allah, lapangkanlah dadaku, tetapkanlah imanku agar tidak mempersoalkan setiap takdir dan ujian yang datang dariMu. Terima kasih Allah izinkan mak tengok anak dia sarung jubah konvo walaupun mata mak tertutup rapat, harap-harap roh mak nampak, harap-harap mak pergi tanpa rasa terkilan.
Terima kasih Allah izinkan jantung mak berdegup kembali, bagi mak masa, walaupun doktor cakap masa ambulans sampai rumah, nadi mak sebenarnya dah tak ada. Terima kasih Allah rezekikan kami jumpa mak buat kali terakhir, sempatkan mak ‘jumpa’ semua anak-anak sebelum mak pergi.
Selamat ‘pulang’
Terima kasih izinkan untuk ‘ajar’ mak mengucap sebelum jantung mak berhenti. Terima kasih Allah permudahkan urusan terakhir mak atas dunia. Ramai jemaah solat kan jenazah mak.
Mak… selamat pulang ke rumah abadi. Mak berehatlah. Tengok macam mana pengakhiran mak, Ijah tahu, Allah akan sediakan tempat terbaik untuk mak dekat sana nanti. Ijah redha. Moga syurga tertinggi untuk mak.
Terima kasih atas semua doa, kata-kata semangat dan ucapan. Let me grieve a little longer this time. Let me take as much time as I want to complete those 5 stages of grief. Kehilangan bukanlah sesuatu yang mudah. Menerima kenyataan bahawa telah tidak detik untuk kita berdamai dengan sebuah ketentuan sahaja sudah cukup memeritkan. Apatah lagi membiasakan diri dengan sebuah kehilangan.
Sumber: Facebook Yuyin Azman