berita

‘Terima Kasih Atas Kepercayaan Dan Sokongan Semua’ – Bekas Presiden PAFA

November 23rd, 2018 | by Shafika
Kini Trending

Sebelum ini, dunia sukan bola sepak Malaysia kecoh dengan kontroversi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim posing dengan piala berprestij di celahan kangkangnya. Sekali gus membuatkan beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan tersebut.

Artikel Berkaitan: Kontroversi Kepit Piala Celah Kangkang, Ini Sebab Presiden PAFA Lepas Jawatan

Terbaru, menerusi Facebook miliknya, beliau memuat naik sebuah status sebagai tanda terima kasih di atas kepercayaan dan sokongan terhadap beliau sepanjang menggalas tugas tersebut.

Mewujudkan rasa kepercayaan

TERIMA KASIH ATAS KEPERCAYAAN DAN SOKONGAN SEMUA

Assalamualaikum dan salam hormat kepada rakan-rakan yang saya hormati serta kasihi. Saya telah mengambil keputusan untuk tidak mengekalkan jawatan Presiden PAFA. Saya amat berterima kasih dengan kepercayaan yang diberikan oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato Seri Ahmad Faizal yang mencadangkan nama saya sebagai Presiden PAFA serta mendapat sokongan sebulat suara anggota gabungan Persatuan Bolasepak Daerah.

Perkara pertama yang perlu saya beri perhatian pada awal saya memegang jawatan ini adalah mewujudkan rasa kepercayaan setiap anggota AJK Exco PAFA supaya memudahkan kita bekerja sebagai satu pasukan yang hadir dengan pelbagai latar belakang kerjaya politik. Keduanya, saya perlu memastikan sasaran membawa pasukan Perak beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 perlu direalisasikan.

Oleh yang demikian kami telah melantik seorang pengurus dan penolong pengurus yang saya boleh percayai untuk membantu Jurulatih Perak, Mehmet Durokovis dalam membentuk pasukan dengan kefahaman yang jitu dan mewujudkan hubungan kekeluargaan antara pemain, barisan jurulatih dan pengurusan PAFA.

Ramuan yang menjadi

Alhamdulillah ramuan ini telah berjaya meletakkan pasukan Perak kembali disegani dalam baki perlawanan sebelum berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018.

Biar dicemuh dengan kata-kata sinis daripada segelintir peminat dan penyokong yang tidak mengenali saya dengan lebih dekat tetapi saya sama sekali tidak mengalah kerana prinsip hidup saya sangat mudah, “lakukan sesuatu perkara itu dengan amanah, jujur dan hormat antara satu sama lain”.

Siapa sangka Perak boleh menjuarai Piala Malaysia 2018 yang pada peringkat awalnya tidak diletakkan harapan oleh ramai pihak termasuklah para penyokong itu sendiri. Tetapi itulah bola sepak, penuh warna warni. Dalam mencorakkan hala tuju sesebuah pasukan, kita perlu menghadapi pelbagai kerenah daripada sebahagian besar penyokong terutama apabila pasukan itu sudah lama tidak mengecapi kejayaan.

Terima kasih dan terus menyokong

Terima kasih YAB Menteri Besar, Setiausaha Politik Menteri Besar dan Naib-Naib Presiden serta Exco PAFA dan yang paling utama pemain-pemain yang sepenuh jiwa memerah keringat dan iltizam bagi memastikan nama kalian tersemat sebagai salah seorang anggota pasukan Perak 2018 dikenang sebagai lagenda bolasepak. 18 tahun kita menunggu akhir tahun 2018 kita kembali menjulang Piala Malaysia.

Kepada penyokong pasukan yang pernah menghina saya, keluarga saya dan rakan-rakan saya, saya bagi pihak mereka tetap memaafkan kalian kerana memberi kemaafan itu sangat mulia dalam mana-mana agama sekalipun.

Terima kasih juga kepada pihak penaja Al-Ikhsan yang sudi menjadi rakan kongsi kepada pasukan Perak. Sikap jujur kalian terserlah ketika perundingan antara kedua belah pihak.

Kepada penyokong yang matang dalam memberi sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bagi, teruskan sokongan kalian. Jadikan sikap matang kalian untuk diteladani generasi baru penyokong The Bos Gaurus.

“Bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar” Al Anfal ayat 46.

YB HASNUL ZULKARNAIN ABD MUNAIM
Mantan Presiden PAFA
23 November 2018

Sumber: YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim

The following two tabs change content below.

Shafika

Content Champion at Rev Asia Berhad
I'm not fat, I'm just easy to see

SKIP THIS AD ×