Kalau memang jodoh, pasti akan bertemu dengan penyanyi Indonesia, Afgan. Siapa saja yang tidak kenal dengan lelaki yang dulunya berkaca mata dan berlesung pipi yang memang terkenal dengan suara lemak merdunya.
Artikel Berkaitan: Alami Depresi, Afgan Pulih Selepas Jumpa Psikiatri
Buka konsert dengan lagu M.I.A
Selepas empat tahun tidak mengadakan konsert berskala besar, akhirnya Afgan mengubati kerinduan peminat dengan ‘Afgan Evolution Kuala Lumpur’ yang diadakan di Dewan Plenary KLCC, pada malam Sabtu (17 Disember).
Meskipun Kuala Lumpur menjadi rumah kedua namun tidak dapat ditepis perasaan gementar yang bersembunyi dalam hati.
Kata Afgan, 33, kedatangan kali ini sangat bermakna selepas dua tahun terpaksa berkurung dalam rumah gara-gara pandemik Covid-19.
Apa khabar Malaysia? Saya rindu semua, rindu saya tak? Saya suka sangat dapat buat konsert di sini lagi. Tak bosan kalian dengan lagu-lagu cinta?
Selain itu, pemilik nama Afganshah Reza mengakui tidak begitu menggemari lagu ‘Jodoh Pasti Bertemu’ yang masih menjadi ‘playlist’ wajib pendengar biarpun sudah 10 tahun usianya.
Saya tahu ramai yang meminati lagu Jodoh Pasti bertemu, tapi saya tidak. Saya dah lancarkan lagu ini 10 tahun lalu, tetapi sampai sekarang tak berjumpa dengan jodohnya. Sebab itu saya benci lagu itu.
Ada jodohnya namun banyak kali asyik berjumpa kemudian tak jadi. Tak mengapa untuk anda semua saya tetap akan menyanyikan lagu itu.
2,800 penonton
Konsert Afgan Evolution Kuala Lumpur yang telah berlangsung selama dua jam itu didengdangkan dengan 24 buah lagu antaranya Terima Kasih Cinta, Jodoh Pasti Bertemu, Pendam, Knock Me Out, Sudah, Bad, Say I’m Sorry, Pulih, Untukmu Aku Bertahan, Lenggang Puspita dan Panah Asmara.
Penyanyi Datuk Sheila Majid turut hadir memberi sokongan kepada adik tercinta selain turut ‘belanja’ lagu Ku Mohon secara akustik.
Difahamkan, ahli keluarga dan teman rapat Afgan dari Indonesia turut hadir menyaksikan konsert itu.
Konsert Afgan Evolution Kuala Lumpur dibawakan oleh Renjana Idea Sdn Bhd.
Sumber Foto: Renjana Idea