Siapa masih ingat dengan penyanyi lagu Mungkinkah iaitu Sheila Abdull yang pernah hit suatu ketika dahulu? Penyanyi ini telah ‘hilang’ dari industri seni dan memulakan kariernya sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan iaitu Malindo Airway.
Artikel Berkaitan: Lebih 2,000 Krew Diberhentikan, Ucapan Terakhir Staf Malindo Air Bikin Sebak
Kesan daripada ketidakstabilan ekonomi akibat pandemik Covid-19 telah menyebabkan sebilangan besar krew Malindo diberhentikan pekerjaan termasuk Sheila Abdull.
Sedih mengenang nasib
Memetik laporan BH Online, dia berkongsikan sudah tidak bertugas sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuat kuasa pada Mac lalu.
Sebelum ini, saya mengambil cuti selama setahun kerana hamil dan bersalin. Baru mahu kembali berkerja, fasa PKP pula dilaksanakan. Saya mengambil cuti tanpa gaji hingga kontrak tamat pada 10 Oktober lalu.
Jika bukan kerana pandemik, tentu kontrak saya akan disambung. Sejujurnya, saya sedih, lebih lagi mengenang rakan yang mengalami nasib sama. Pakaian seragam pun belum dipulangkan lagi. Tak tahulah bagaimana perasaan apabila bertemu dengan mereka.
Selamat tinggal buat kali terakhir
Sheila Abdull menerusi akaun Instagramnya memuat naik video kenangan sepanjang berkhidmat sebagai pramugari di Malindo Air. Dia bagaimanapun meluahkan perasaan sedih terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai pramugari selepas empat tahun berkhidmat.
Selalunya, saya akan kunci jam supaya senang nak bangun awal pagi, sebelum pergi kerja. Persediaan nak bekerja yang paling dirindui. Bersiap pakai uniform, bersolek dan menggayakan sanggul. Seronok membayangkan perasaan ketika bekerja. Saya hanya jadi suri rumah sepanjang tempoh lapan bulan ini. Jaga anak, memasak dan kemas rumah.
Sumber: Sheila Abdull, BH Online