berita

Terlalu Stress Di Tempat Kerja, Doktor Ini Nekad Tukar Cara Kerja & Hasilnya..

September 26th, 2018 | by Arini Saleh
Kini Trending

Semalam seorang Houseman (pegawai perubatan latihan siswazah) meluahkan cabaran yang perlu ditempuhi sepanjang menjalankan latihan di hospital. Tekanan perasaan dan trauma menyebabkan beliau mengambil keputusan berhenti jadi doktor.

Artikel berkaitan : ‘Ini Sebab Kenapa Saya Berhenti Jadi Doktor…’

Terbaru, doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan pula kongsi pengalaman serupa namun mengambil inisiatif mengubah cara kerja. Hasilnya..

Mental aku parah

Semalam terbaca keluhan seorang pegawai perubatan latihan siswazah (HO) tentang tekanan kerja bekerja di hospital. Perasaan itu tak asing bagi aku, malah aku rasa hampir semua HO alami situasi sama.

Ini kisah aku.

Aku ingat lagi ketika aku di posting pertama di Jabatan Pediatrik. Aku masuk kerja pukul 6 pagi dan pulang 12 tengah malam. Setiap pagi minum secawan nestum, tengah hari makan sebiji roti ban, dan makan malam baru merasa nasi (itu pun sudah sejuk).

Ada hari, aku pulang ke rumah terus masuk bilik air. Mandi dengan baju kerja tu sekali. Baju terpalit darah, air kencing, muntah dan bermacam-macam lagi bendalir daripada badan manusia. Sambil berdiri dibawah pancuran itu, aku menangis.

Stress!

Fizikal aku penat. Kerja bertimbun-timbun, terkejar sana-sini. Ini STAT, itu STAT, semuanya mahu STAT!

Mental aku parah. Dimarahi MO, diherdik pakar, disindir jururawat, dimaki ibubapa pesakit. Sentiasa berdebar.

Emosi aku tawar. Rawat pesakit tiada empati, berkomunikasi tiada eksperesi, melakukan prosedur tiada simpati.

Dunia ini seolah-olah bermusuh dengan aku.

Itulah terjadi kalau kau kerja sebagai seorang doktor 15-18 jam sehari, 6 hari seminggu. Cuti sehari, itu pun selepas shif malam. Hitam dan biru. Lunyai dan lumat. Macam mayat bernyawa.

Aku tak tahan hidup macam tu, jadi aku nekad untuk buat sesuatu yang drastik.

Aku ambil cuti, perhati cara kerja

Aku ambil cuti, tapi bukan untuk berehat. Aku cuti tapi aku hadir ke wad pediatrik untuk menjadi pemerhati bebas. Aku tinjau bagaimana wad berfungsi dari perspektif orang ketiga. A fresh new perspective.

Melalui pemerhatian itu, aku dapati cara aku bekerja agak berbeza dengan HO senior. Berbanding dengan mereka, aku tak cukup cekap menguruskan dan melaksanakan tugas. Aku tak pandai susun keutamaan tugas. Aku tak pandai kerja berpasukan.

Keesokannya harinya, aku datang kerja dengan game plan berbeza. To-do-list aku disusun ikut keutamaan. Pesakit aku kenal dengan nama, wajah dan diagnosis, bukan lagi dengan nombor katil.

Ada masalah, aku terus jumpa MO. Ada kemusykilan tentang rawatan, aku tanya terus pada pakar semasa rondaan wad. Biasanya pakar takkan marah jika tanya, mereka marah kalau HO tak laksana rawatan yang dirancang.

Selain daripada ibubapa dan rakan sekerja, aku juga dapatkan sistem sokongan kerja, mental dan emosi tambahan, dengan bina hubungan lebih mesra dengan staf-staf wad, sekuriti, malah dengan makcik cleaner.

Hidup aku berubah

Hidup aku berubah.

Selepas 2 minggu, aku mula kurang dimarahi oleh MO dan pakar. Jururawat dan PPK mula senang membantu aku jika aku minta pertolongan. Aku ada masa untuk makan tengah hari dengan lebih selesa. Kerja aku sempat siap sebelum habis shif. Yang penting aku tak lagi rasa kerja tu perkara yang membebankan.

Aku akui, aku bukalah HO yang cemerlang. Ada tiga jabatan yang kena extend. Pediatrik sebulan, O&G sebulan, dan A&E sebulan. Semasa extension tu aku belajar benda yang aku tak dapat belajar/buat semasa tempoh wajib di jabatan-jabatan berkenaan.

Semasa extend di paediatrik, aku dapat buat 2 kali exchange transfusion. Extend di O&G, dapat assist pembedahan kes-kes obstetrik onkologi pelik-pelik. Di A&E, dapat rasa kendalikan kes bencana(kebakaran kilang).

Aku seronok sahaja bekerja semasa tempoh extension-extension tu, sebab sentiasa ada sokongan orang sekeliling.

Tahu-tahu, dah habis pun HO. Sepanjang perjalanan itu, segala pahit manis, onak duri, ranjau, lautan api, MO PMS 24/7, pakar singa betina, dan apa jua rintangan yang aku harungi, membentuk aku menjadi doktor yang lebih tahan lasak dari segi fizikal, mental dan emosi.

Ada masalah, kita cari penyelesaian. Nak selesaikan, kena cari puncanya dahulu. Jika memang dah tak minat, dan penyelesaian terbaik untuk anda adalah dengan bertukar kerjaya, maka tukarlah. Tak salah pun.

Jika tanya aku, perlukah jadual kerja program HO dirombak? Aku akan kata perlu. Kebajikan mereka pun perlu dijaga, namun perlu seimbang dengan kebajikan MO, pakar, staff sokongan dan pesakit.

Apapun, selamat berjuang pegawai perubatan latihan siswazah sekalian!

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Medtweetmy

Glosari:
HO = houseman (pegawai perubatan latihan siswazah) 
MO = medical officer
PPK = atendan hospital
STAT = segera
Pediatrik = Kanak-kanak 
O&G = Perbidanan dan Sakit Puan
A&E = Kecemasan dan Trauma

Sumber : Kamarul Ariffin Nor Sadan

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×