Foto: Inquirer
Situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan ini membuatkan orang ramai sedikit sukar untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu. Lebih-lebih lagi apabila terdapat beberapa rakyat Malaysia yang dibuang kerja dan harus mencari jalan baharu untuk meneruskan kehidupan. Bukan sahaja wabak ini membawa kematian, tetapi ia juga membawa perubahan kepada rutin seharian.
Keadaan seperti ini boleh membawa kesan kepada emosi dan mental kerana setiap perubahan yang berlaku dalam hidup boleh memberi tekanan hingga menyebabkan individu itu mengalami kebimbangan dan kemurungan. Kesihatan mental dan emosi boleh terganggu tidak kira umur tua atau muda. Selain daripada pendekatan mengambil berat dengan orang yang rapat, terdapat banyak lagi cara untuk menjaga kesihatan mental dan emosi.
Mengamalkan cara hidup yang sihat
Foto: Today
Melakukan aktiviti senaman adalah penting untuk menguatkan sistem imun badan bagi menghalang tekanan dan gangguan kebimbangan. Aktiviti senaman juga dapat memberikan ketenangan mental kerana ia dapat membuatkan darah berjalan dengan lebih lancar ke seluruh badan. Ia juga dapat mengalihkan perhatian kita kepada perkara yang lain daripada berfikir perkara yang tidak sepatutnya. Dengan melakukan senaman dan aktiviti fizikal, ia boleh meregangkan otot yang sekaligus boleh mengurangkan kecederaan otot apabila melakukan aktiviti berat. Senaman dan aktiviti fizikal seperti joging juga boleh dilakukan bersama rakan dengan tujuan untuk mengelakkan keresahan dengan cara meluangkan masa dengan orang terdekat. Selain daripada kekalkan kesihatan mental, dengan senaman juga anda boleh kekalkan kesihatan fizikal anda.
Tidur yang mencukupi dan pemakanan yang sihat juga dapat membantu kesihatan mental dan emosi anda. Ia juga dapat mengelakkan kebosanan, keresahan dan berfikir secara berlebihan. Selain daripada tidur yang mencukupi, pemakanan yang sihat turut mempengaruhi kehidupan harian seseorang, kerana pemakanan yang sihat dapat mencegah diri daripada pelbagai penyakit termasuk kemurungan.
Kukuhkan hubungan sosial
Foto: ConnectBGS
Memperkukuhkan hubungan dan aktiviti sosial dapat mempengaruhi kesihatan mental. Dalam kehidupan ini, seseorang memerlukan pendengar untuk curahan isi hati. Hal ini untuk meringankan beban yang mungkin terpendam. Dalam keadaan pandemik ini, anda harus mementingkan komunikasi sosial anda bersama orang yang rapat seperti ahli keluarga dan rakan-rakan. Jika anda berasa keseorangan, dengan teknologi yang serba moden kini anda hanya perlu untuk melakukan panggilan video bersama ahli keluarga atau rakan anda untuk bertanya khabar dan sebagainya.
Hubungan sosial juga dapat memainkan peranan dalam menjaga kesihatan mental dan emosi, iaitu dengan cara berbual dan ketawa untuk meringankan tekanan yang sedia ada. Anda juga boleh bercerita tentang masalah anda kepada ahli keluarga atau rakan melalui aplikasi dalam telefon pintar. Ini dapat mengelakkan anda daripada berasa keseorangan dan semua masalah pasti ada penyelesaiannya.
Berfikir secara positif
Foto: California Healthline
Antara langkah yang efektif dalam menjaga kesihatan mental dan emosi adalah, seseorang individu harus berfikir dengan positif tentang diri sendiri. Anda boleh cuba bercakap positif pada diri sendiri seperti saya akan, saya boleh, saya akan cuba, saya juara, saya disayangi, saya menarik dan sebagainya.
Berfikir secara positif juga dapat meningkatkan daya keyakinan diri serta dapat menjaga kesihatan mental kita dengan daya keyakinan diri yang tinggi. Pemikiran yang tidak rasional dan kesilapan dalam berfikir adalah cara pemikiran yang tidak berasas dan mengakibatkan perasaan negatif dan ketidakupayaan. Berfikiran negatif boleh menyumbangkan diri anda kepada stres dan kemurungan, jadi setiap kali anda berfikiran negatif, pastikan anda berfikir sebaliknya dan bentukkannya dengan perkara yang positif. Kesilapan dalam berfikir boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan ia boleh membawa kepada perkara yang buruk dalam kehidupan. Namun, dalam jangka masa yang panjang, ia boleh mengubah keperibadian anda. Berfikirlah secara positif supaya anda dapat kekalkan kestabilan mental dan emosi anda.
Belajar untuk menjadi diri sendiri
Foto: Healthline
Perkara yang diperlukan untuk menjadi diri sendiri adalah buang keinginan supaya semua orang menyukai diri anda. Seterusnya, jangan bersedih atau berasa gagal jika orang tidak menyukai diri anda. Adalah penting untuk kesihatan mental dan emosi dalam menjadi diri anda sendiri.
Jika anda hanya meluangkan masa dengan membuat apa yang orang lain mahukan, anda tidak akan berpeluang untuk menjadi diri sendiri. Dengan belajar menjadi diri sendiri, anda akan lebih menghargai dan menyayangi diri anda. Perkara ini sangat penting untuk kesihatan dan kestabilan mental anda. Jika anda sering membandingi diri anda dengan orang lain, jadikan perbandingan itu kearah kebaikan dengan motivasikan diri agar anda berusaha untuk menjadi lebih baik. Sebagai contoh, jika anda sering membandingi kejayaan orang lain, jadikan ia sebagai motivasi untuk anda bekerja dengan lebih keras dan terus berjaya di masa akan datang.
Ketahui fakta Covid-19
Foto: Popular Science
Kebanyakan individu mudah tertekan dan mengalami kerisauan apabila menghadapi situasi yang tidak diketahui seperti Covid-19. Dengan mengetahui fakta yang penting tentang wabak ini, anda boleh merancang dan bersedia tetapi haruslah merujuk sumber yang dipercayai dan tepat. Sebagai contoh, ambil tahu tentang simptom wabak Covid-19 iaitu demam, batuk, sesak nafas, sakit tekak dan selsema. Anda juga harus mengetahui fakta tentang langkah-langkah mengelak dari berjangkit wabak ini supaya dapat menjadikan anda lebih berhati-hati dan tidak mengalami keresahan atau kerisauan.
Ini dapat membantu otak anda supaya bersedia menghadapi perkara yang susah untuk dihadapi dan mengelakkan diri daripada serangan panik.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia.