Pada 31 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah telah memerintahkan kesemua 18 tertuduh bagi kes kematian membabitkan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman untuk membela diri selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan kes prima facie.
Dalam prosiding membela diri yang bersambung semalam, suasana di dalam kamar mahkamah menjadi pilu selepas tertuduh kedua membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa.
Sebak minta maaf
Menerusi laporan Bernama, tertuduh, Muhammad Azamuddin Mad Sofi membuat permohonan maaf itu selepas peguamnya bertanya jika dia mahu bercakap sesuatu kepada keluarga Zulfarhan.
Dalam keadaan sebak, Azamuddin mewakili sahabat-sahabatnya yang lain berkata dirinya memohon maaf atas apa yang telah berlaku.
Saya mewakili sahabat-sahabat saya memohon maaf atas apa yang berlaku.
Rindu mak ayah
Apa yang lebih memilukan, Azamuddin juga mendedahkan Zulfarhan yang membahasakan dirinya sebagai Along turut memberitahu dirinya merindui kedua ibu bapanya dan mahu memohon maaf.
Pendedahan Azamuddin itu ternyata telah mengundang kesedihan sehingga ibu mangsa yang turut mengikuti prosiding itu dilihat menitiskan air mata.
Menurut Azamuddin, sebelum Zulfarhan meninggal dunia, dia dan mangsa berada di dalam bilik tertuduh pertama Muhammad Akmal Zuhairi, namun pada ketika itu Akmal sedang keluar membeli ‘Oral Rehydration Salt’ (ORS).
Pada waktu itu Zulfarhan ada muntah sekali. Bila saya membersihkan muntahnya, Zulfarhan memberitahu saya dia minta maaf dekat saya sebab dia menyusahkan saya. Saya bagi tahu dia tak ada masalah kita kawan dan Zulfarhan bagi tahu dia rindu mak dan ayahnya dan mahu minta maaf.
Dia cakap Along rindu mak dan ayah, saya cakap kalau rindu call lah, tapi dia cakap tak apa aku tak nak menyusahkan mak ayah aku, mak aku sakit. Saya rasa pelik kenapa tiba-tiba dia cakap macam itu.
Imbau kenangan
Bercerita lebih lanjut, Azamuddin juga berkata Zulfarhan secara tiba-tiba mengimbau kenangan mereka bersama malah turut sempat meluahkan rasa sayangnya terhadap tertuduh.
Tiba-tiba dia (Zulfarhan) mengimbau kenangan saya tumpang rumah dia di Johor Bahru. Saya bagi tahu Zulfarhan, apa yang jadi pun aku tetap dengan kau, kau kena kuat, minggu depan dah nak peperiksaan dan Zulfarhan bagi tahu dia sayang saya.
Zulfarhan beritahu dia mahu baring atas comforter (selimut) secara meniarap. Selang beberapa minit Muhammad Akmal lihat Zulfarhan tidak bergerak dan memanggil nama Zulfarhan, namun tiada tindak balas daripada Zulfarhan, lalu saya pegang tangan dia (Zulfarhan) dan saya rasa tangan dia sejuk.
Telefon ambulans
Azamuddin kemudian berkata dia menelefon ambulans dan sebelum ambulans tiba, pihak hospital memberi arahan kepada mereka supaya mengerengkan Zulfarhan.
Anggota parademik yang tiba membuat pemeriksaan, tiada tindak balas daripada Zulfarhan dan selepas itu Zulfarhan dibawa ke Hospital Serdang.
Tiba di hospital saya dan Muhammad Akmal melakukan pendaftaran di wad kecemasan hospital itu. Kakitangan hospital memberitahu kami Zulfarhan masih ada nadi dan pada 9.30 malam seorang doktor bagi tahu Zulfarhan sudah meninggal dunia.
Buat satu saat sahaja
Dalam keterangannya, Azamuddin berkata pada 22 Jun 2017 lalu dia hanya melakukan seterika wap itu di bahu dan peha Zulfarhan selama satu saat.
Saya guna seterika itu pada bahu dan peha Farhan tetapi masa buat seterika dan Farhan tidak bersentuhan.
Saya ambil seterika wap itu apabila Mubin (rakan tertuduh) cakap Zulfarhan kena ajar sikit, selepas itu saya gunakan.
Katanya, tindakan itu dilakukan terhadap Zulfarhan semata-mata untuk menasihatinya sahaja.
Pada saya, tindakan saya hanya untuk menasihati Zulfarhan sebab saya tahu bagaimana perangai Zulfarhan.
Malah dia juga berkata dirinya langsung tidak tahu perbuatannya itu mampu mendatangkan kecederaan terhadap Zulfarhan, jauh sekali berniat untuk melakukan pembunuhan terhadap rakannya itu.
Sumber: Bernama, Sinar Harian