Di Ipoh, Perak, pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar lelaki berusia 17 tahun diberi kawalan ketat ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, hari ini bagi berdepan dengan pertuduhan.
Artikel Berkaitan: Polis Siasat Pelajar 17 Tahun Maut Dilanggar Lari
Artikel Berkaitan: Kes Pelajar Calon SPM Maut Dilanggar, Pegawai Kanan Polis Ditahan Bantu Siasatan
Layanan ‘double standard’
Menerusi laporan Harian Metro, kawalan ketat luar daripada kebiasaan itu menimbulkan persoalan mengenai layanan ‘double standard’ dalam kalangan pengamal media yang hadir.
Menurut pengamal media, liputan kes itu tidak dapat dilakukan seperti biasa sebagaimana pesalah lain yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan juga, jurugambar dan juruvideo yang menunggu seawal jam 7.45 pagi di pintu pagar mahkamah tidak menyedari ketibaan tertuduh yang sudah berada dalam kamar perbicaraan kira-kira 9.05 pagi. Bukan itu sahaja, beberapa anggota polis yang mengiringi tertuduh didakwa cuba menghalang laluan biasa digunakan oleh pengamal media bagi merakam visual orang kena tuduh (OKT) di mahkamah itu.
Ketika dibawa keluar dari kompleks mahkamah, tertuduh dipercayai dibawa menaiki pacuan empat roda hitam bercermin gelap diiringi empat kenderaan lain yang turut dinaiki anggota polis beruniform Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ). Malah, kesemua kenderaan itu dilihat dipandu laju melalui tempat pengamal media berhimpun untuk merakam visual.
Sebelum ini, tertuduh Mohd Nazri Abdul Razak, 44, didakwa atas tuduhan membunuh pelajar Tingkatan 5 pada 15 Disember lalu. Tertuduh yang berpangkat Deputi Superintendan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Sumber: Harian Metro