Penyanyi 80-an, Dayangku Intan baru-baru ini memuatnaik video meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap staf di Hospital Putrajaya. Berikutan video tersebut, pihak hospital telah membuat laporan polis kerana dikatakan menjejaskan imej dan kredibiliti pegawai perubatan mengendalikan Covid-19.
Penyanyi itu bagaimanapun masih bertegas dengan pendiriannya berhubung isu itu.
Tetap dengan pendirian
Penyanyi Berpaut Di Dahan Cinta itu didakwa menghina kakitangan hospital berkenaan dalam video yang dimuatnaik di laman Facebooknya. Dia bagaimanapun masih berpendirian tindakannya itu tidak salah.
Tak mengapa mereka buat laporan polis. Itu tanggungjawab mereka. Apa pun, saya tetap dengan pendirian yang mana apa dibuat (memuat naik video) tak salah.
Dari awal saya berharap perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik. Sepatutnya, perkara ini tidak boleh dipandang daripada sebelah pihak saja. Kena tengok video saya sepenuhnya.
Tidak dihubungi hospital
Tambah penyanyi ini lagi, selepas video luahannya itu dimuat naik, dia tidak menerima apa-apa panggilan daripada pihak hospital. Akan tetapi, dia mengakui tidak kisah dengan tindakan hospital itu dan maklum mengenai laporan ke atasnya.
Selepas saya memuat naik video itu, tidak ada sesiapa atau wakil hospital menghubungi saya untuk berbincang. Kalau ada, saya sedia memberi kerjasama.
Tidak mengapa jika itu pilihan mereka dengan membuat laporan polis. Malah, saya tahu mengenai laporan yang dibuat terhadap saya.
Akan ke balai polis
Dayangku Intan juga memberi kenyataan kepada Harian Metro bahawa dia akan ke balai polis pada Jumaat, namun enggan mendedahkan apa tindakan akan diambil.
Selepas mengetahui laporan yang dibuat, saya menghubungi balai polis itu untuk bercakap dengan Pegawai Penyiasat tapi gagal. Saya cuma dapat bercakap dengan anggota bertugas di situ.
Memandangkan esok hari terakhir saya menjalani kuarantin, saya akan ke balai polis berdekatan rumah. Saya tak boleh nak cakap sekarang apa nak dibuat. Kena tunggu esok (hari ini).
Sumber: Harian Metro