Di Kemasik, Kuala Terengganu, pihak pengurusan TGV Mesra Mall telah mengumumkan melaksanakan pengasingan tempat duduk mengikut kategori jantina dan keluarga. Pengasingan ini bermula semalam, 3 September 2020 dan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan.
Perlaksanaan ini dilakukan selari dengan garis panduan yang ditetapkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bagi industri hiburan seluruh negeri Terengganu.
Hanya di lokasi ini
Walaubagaimanapun orang ramai tidak perlu risau kerana perlaksanaan ini hanya akan dikuatkuasakan di lokasi ini sahaja. Pengasingan penonton ini dilakukan mengikut 3 zon yang berbeza. 3 zon tersebut ialah zon lelaki untuk semua individu atau kumpulan penonton lelaki sahaja, zon perempuan untuk semua individu atau kumpulan penonton perempuan sahaja dan zon keluarga untuk keluarga, pasangan suami isteri atau mahram.
Jika keliru, pengunjung boleh merujuk kepada indikasi pelan tempat duduk yang dipamerkan ketika proses pembelian tiket sama ada di laman web, aplikasi atau kios TGV. Indikasi ini berdasarkan warna yang ditentukan seperti biru untuk pengunjung lelaki, merah jambu untuk perempuan dan kuning untuk berkeluarga.
Perlu kemuka bukti
Bagi mereka yang sudah berumahtangga anda perlu mengemukakan bukti perkahwinan seperti kad nikah ataupun dokumen sebagai bukti. Menurut pihak TGV Mesra Mall lagi, staf mereka akan melakukan pemeriksaan terhadap setiap individu, kumpulan atau pasangan yang hadir ke pawagam ini.
Selain itu mereka yang tersalah beli tiket tanpa mengetahui tentang perlaksanaan itu disarankan untuk menyemak terlebih dahulu sebelum meneruskan pembelian tiket kerana penukaran tempat duduk hanya dilakukan jika terdapat kekosongan pada waktu itu.
Sumber : TGV