Umum mengetahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat dan bersejarah buat Malaysia setelah negara berjaya mencapai kebebasan dari menjadi jajahan British. Tahun ini, sudah 63 tahun negara kita mencapai kemerdekaan dan sepanjang tempoh ini juga pelbagai iklan berkaitan merdeka telah dihasilkan.
Tidak dinafikan iklan-iklan ini dihasilkan bagi menanam semangat patriotik dalam diri setiap individu selain membawa mesej bermakna buat penonton. Jadi dalam beratus video yang pernah dikeluarkan, mari kita lihat video yang meninggalkan kesan dan boleh dikatakan antara yang terbaik sepanjang zaman.
Iklan Tan Hong Ming
Ini adalah antara iklan yang paling diingati rakyat Malaysia yang mengisahkan tentang seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Tang Hong Ming yang menyukai rakannya sendiri iaitu Umi Kazrina. Disebabkan gelagat mereka berdua yang comel itu berjaya memikat hati semua rakyat Malaysia.
Iklan Param’s Bicycle
Iklan yang dihasilkan pada tahun 2003 ini berjaya meninggalkan impak pada setiap penonton. Mengisahkan tentang semangat persahabatan di antara tiga orang kawan baik yang terpisah dan akhirnya bertemu kembali di sebuah hospital tetapi malangnya salah seorang dari mereka sudahpun meninggal dunia.
Iklan Akrab
Iklan yang mengisahkan tentang Chuan dan Arum yang mendapat surat daripada sahabat lama mereka iaitu Ismail. Semangat persahabatan antara mereka masih utuh dan boleh dilihat ketika mereka berhubung kembali melalui panggilan video yang dibuat oleh cucu mereka.
Iklan Merdeka Sampan
Iklan ini mengisahkan Man seorang pembuat bot yang menggunakan papan lama untuk membina bot apabila diarahkan oleh majikannya sendiri. Akhirnya bot yang dibina tenggelam kerana dimasuki air.
Iklan Maxis
Mengisahkan seorang budak bernama Mohd Nazmi yang tidak berpuas hati dengan ayahnya yang hanya mampu membawanya bercuti dalam Malaysia, berbeza dengan rakan-rakannya. Bagaimanapun dia sedar apa yang dilakukannya itu salah dan dia telah merancang sesuatu buat ayahnya.
Iklan Perlumbaan Bot
Menerusi iklan ini, kita boleh saksikan pertandingan perlumbaan bot yang melibatkan dua kumpulan merah dan kuning di mana kumpulan merah lebih ke arah ingin memenangi pertandingan sehinggakan menimbulkan pergaduhan dan kuning pula lebih menerapkan semangat bersatu antara pasukan sehinggakan mereka dapat memenangi pertandingan tersebut.
Iklan Perbezaan Warna
RHB berjaya menambat hati penonton dengan iklan Merdeka mereka yang mengisahkan mengenai perbezaan warna kulit yang sering terjadi dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri. Sikap skeptikal tentang perbezaan warna itu membuatkan rakyat berpecah belah di mana akhirnya mereka sedar bahawa ianya tidak seburuk yang disangka.
Iklan Aiman Gyver
Iklan arahan Afdlin Shauki ini mengisahkan pengorbanan seorang bapa terhadap anaknya bernama Aiman yang meminta pelbagai benda darinya tetapi tidak pernah dapat satu pun. Menginjak usia remaja, dia ingin menyambung pelajaran ke universiti dan dia dikejutkan oleh bapanya sendiri apabila bapanya menghulurkan buku bank dengan jumlah wang simpanan sangat banyak.
Iklan Merdeka Proton
Iklan yang memaparkan kehidupan seorang budak bernama Aman yang tidak pernah fokus di dalam kelasnya sehinggakan bersikap kurang ajar dengan gurunya sendiri. Satu hari gurunya memberi nasihat kepadanya dan bermula saat itu dia telah berpindah dan kembali berjumpa gurunya ketika dia sudah berjaya.
Iklan One Little Indian Boy
Antara iklan yang paling lama tetapi masih diingati setiap rakyat Malaysia ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak India yang dibawa bapanya untuk menyaksikan detik bersejarah laungan Merdeka buat pertama kalinya dan terus menghargai momen kemerdekaan itu.
Sambut Merdeka new normal
Setiap tahun pasti hari Merdeka akan disambut dengan meriah. Ketika sambutan inilah adanya perarakan pakaian seragam, festival, perarakan kereta berhias dan pelbagai lagi. Namun pada tahun ini, cara sambutan Merdeka akan berbeza dari kebiasaan apabila munculnya penularan wabak pandemik Covid-19.
Walaubagaimanapun, dengan kerjasama TikTok, sambutan secara langsung telah dilancarkan untuk tahun ini bagi mengekalkan semangat patriotik yang ada dalam diri. Sambutan Merdeka new normal ini boleh disambut dengan merakamkan video anda di applikasi TikTok. Jangan lupa juga letakkan #KITABERSAMA dalam video rakaman anda!
Selain kempen kemerdekaan #KITABERSAMA, anda juga boleh menghulurkan bantuan bagi membantu lebih daripada 1 juta Veteran ATM melalui Kempen Tabung Pahlawan yang sudah dimulakan sejak 2013 lagi!