berita

Tiada Hukuman Boleh Kembalikan Nyawa, Pesanan Peguam Kepada Ibu Bapa Dalam Didik Anak

August 18th, 2020 | by Arini Saleh
Isu & Kontroversi

Dalam perkembangan terbaru, seorang remaja dijatuhkan hukuman penjara sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas didapati bersalah membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran pada tahun 2017.

Artikel berkaitan : Remaja Bakar Tahfiz Sebabkan Kematian 23 Individu Dipenjara Hingga Dapat Pengampunan Agong

Di Facebook seorang peguam, Nor Zabetha, berharap hukuman yang dikenakan kepada pesalah remaja ini mampu memberi pengajaran kepadanya. Beliau turut meluahkan rasa syukur akhirnya keadilan kepada mangsa dan keluarga dapat ditegakkan.

Mangsa & keluarga dapat keadilan

‘Kalau dalam kes pembunuhan, biasanya tidak ada pihak yang menang’. Saya masih ingat kata-kata ini oleh bapa seorang mangsa, dalam satu dokumentari kes bunuh di USA.

“I lost my daughter and they lost their son”, kata bapa mangsa yang merujuk kepada ibu bapa pembunuh yang juga remaja sewaktu pembunuhan berlaku. Pembunuh dihukum penjara seumur hidup, itulah yang dimaksudkan kehilangan oleh bapa mangsa.

Benar. Kalau berlaku pembunuhan, tiada siapa yang menang walaupun hukuman telah dijatuhkan. Waktu membaca liputan berita tadi, saya bersyukur hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh dalam kes bunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz pada 14/9/2017.

Bila dijatuhkan hukuman begini, saya merasakan mangsa serta keluarga mendapat keadilan. Kes mereka didengar. Ada sabitan dan keputusan bersalah. Ada hukuman. Akhirnya ada pembelaan.

Dalam pada merasakan keadilan kerana tertuduh dihukum tetapi secara jujurnya, sedih bila mengenangkan nasib mereka yang terkorban. Tidak ada satu jenis hukuman pun di dunia ini yang dapat mengembalikan nyawa-nyawa mereka yang terkorban.

Semoga dia menginsafi perbuatannya

Memandangkan tertuduh dalam kes ini adalah bawah 18 tahun sewaktu kejadian dan selaras dengan Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, oleh yang demikian tertuduh tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Saya berharap selama tertuduh dipenjarakan, semoga dia sentiasa berdoa dan menginsafi terhadap perbuatannya itu. Perbuatan khianat yang begini, tiada undang-undang atau apa sahaja dapat memberikan kemenangan kepada mangsa mahupun tertuduh.

Kawan-kawan, ambil ikhtibar,

Didiklah anak kita, jangan jadi seorang pendendam. Bila terlalu marah, ajar mereka jangan ambil jalan mudah seperti menyakiti atau mencederakan.

Didiklah anak kita, biar jadi jenis yang tenang dan penyayang. Jangan menggunakan kekerasan sebagai penyelesaian.

Didiklah anak kita tentang dosa dan pahala, tentang larangan agama supaya mereka tidak bertindak di luar batasan.

Didiklah anak kita supaya jangan jenis mendabik dada atau meninggi diri kerana hari ini mungkin kita di atas tetapi kelak siapa tahu?

Kalau ramai dari kita yang ambil masa mendidik dan berpesan-pesan. Insyallah, anak-anak muda generasi akan datang, tidak akan mengulangi perbuatan yang sama dan segala kesilapan di zaman ini.

Sumber : Nor Zabetha

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×