Baru-baru ini viral di media sosial apabila media antarabangsa, Al Jazeera didakwa menghasilkan video dokumentari kontroversi mengenai Malaysia. Video dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ itu mendapat perhatian ramai termasuk Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Artikel Berkaitan :Ini Pembohongan!’ – Ismail Sabri Cabar Aljazeera Tunjuk Negara Mana Beri Kebebasan Kepada Warga Asing
Terbaru, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mendapati Al Jazeera International (Malaysia) Sdn Bhd (Al Jazeera) tidak mempunyai lesen pengeluaran filem untuk penerbitan dokumentari kontroversi tersebut.
Al Jazeera tidak mempunyai lesen
Malah syarikat penyiaran antarabangsa itu juga tidak membuat permohonan untuk Surat Perakuan Penggambaran bagi membuat liputan dokumentari berkenaan. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Al Jazeera sudah melanggar peraturan apabila tidak mempunyai lesen penerbitan dan kebenaran penggambaran.
Tambahnya lagi, sudah menjadi tugas FINAS dalam memastikan setiap penerbitan tidak kira dalam atau luar negara, melakukan penggambaran sebagaimana termaktub akta dan mengikut peraturan.
Apa sahaja penggambaran dan penerbitan perlu mengikut peraturan termasuk memiliki lesen penerbitan dan sijil perakuan penggambaran.
Seperti kes penerbitan dokumentari kontroversi ini, siasatan mendapati Al Jazeera tiada lesen penerbitan dan kebenaran penggambaran. Sehubungan itu, FINAS harus bertindak tegas, lebih-lebih lagi penyiaran dokumentari itu berbaur fitnah.
Al Jazeera bakal berdepan risiko
Al Jazeera perlu mendapat lesen kebenaran daripada FINAS sebelum membuat penggambaran dokumentari atau filem.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pernah memaklumkan bahawa mana-mana syarikat penyiaran perlu mendapat kebenaran lesen dari FINAS terlebih dahulu. Tanpa lesen berkenaan, Al Jazeera bakal berdepan risiko termasuk kad akreditasi dibatalkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).
Terdahulu, Unit Komunikasi FINAS melalui kenyataan memaklumkan, kedua-dua kesalahan itu dikesan berdasarkan siasatan awal dilakukan FINAS terhadap syarikat penyiaran berkenaan dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan terhadap Al Jazeera.
Sumber : Harian Metro