Percutian yang sepatutnya menjadi saat gembira bertukar duka buat pelancong Amerika Syarikat, Carla Stefaniak. Dia tiba-tiba ‘ghaib’ dari dihubungi teman dan keluarga apabila mesej dihantar kepadanya langsung tidak berbalas. Tiada siapa menyangka percutiannya bersama kakak ipar ke Costa Rica bertukar mimpi ngeri apabila wanita ini menemui ajal dengan cara misteri.
Lanjutkan percutian sehari
Carla dan kakak iparnya April Burton bercuti ke sana untuk meraikan ulang tahun kelahiran Carla yang ke-36. Tanpa disangka, percutian tersebut berakhir tragedi apabila Carla tidak pulang ke rumah yang dia sepatutnya tiba pada 28 November 2018.
Mereka sepakat memilih penginapan Airbnb di Villa Buena Vista, Calle Hoja Blanca, Costa Rica yang turut dikenali dengan nama Villa Le Mas. April yang mempunyai urusan perlu pulang lebih awal namun Carla melanjutkan percutiannya sendirian selama sehari lagi.
Mereka berdua saling berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sebelum Carla memaklumkan kepada Carla lampu di penginapannya tiba-tiba terpadam keseluruhannya. Perhubungan mereka terputus di situ. April mengucapkan selamat ulang tahun untuk Carla walaupun mesejnya tidak berbalas sebelum itu.
Keesokan hari, Carla yang sepatut berlepas ke rumahnya di Florida, tidak menaiki pesawat pada jam 1 petang seperti dijadualkan. Dia hilang tanpa jejak.
Dahaga air
Kehilangan wanita itu membuatkan abangnya terbang ke Costa Rica untuk mencari. Akhbar Costa Rica News melaporkan pegawai keselamatan tempat penginapan Carla berkata wanita itu meninggalkan penginapan pada pukul 5 pagi menggunakan perkhidmatan Uber. Keluarganya enggan percaya kerana penyataan kad kredit wanita itu tidak merekodkan transaksi pada waktu berkenaan.
Salah seorang rakan dimaklumkan Carla dia dahaga dan mahu mendapatkan air untuk membasahkan tekak. Individu yang dicari Carla adalah pegawai keselamatan di situ, Bismarck Espinosa Martinez.
Dihentak objek tumpul
Ketika itu, keluarga wanita berkenaan percaya Bismarck bertanggungjawab atas kehilangan Carla. Barangan miliknya masih ada di penginapan Airbnbnya itu. Pencarian wanita ini berakhir apabila anjing pengesan menemukan satu mayat kira-kira 200 meter dari bilik penginapannya.
Mayat itu telah teruk mereput dan tidak boleh dikenalpasti pada mulanya sebagai Carla kerana telah ditanam separa dan ditutup dengan beg plastik. Pasukan bedah siasat mendapati beberapa kesan tikaman pada leher dan bahagian atas badan. Namun, punca kematian disahkan kerana hentakan objek tumpul di kepala.
Bermotif seksual
Bismarck kini ditahan dan meringkuk selama beberapa bulan di penjara sementara menunggu perbicaraan. Dia dituduh atas kes bunuh kelas kedua yang jika sabit kesalahan akan menyebabkannya dipenjara selama 12 hingga 18 tahun.
Pihak polis percaya ada beberapa orang terlibat dalam pembunuhan itu. Malahan, komplot itu telah dirancang lama sebelum kejadian. Pihak berkuasa turut mengesahkan motif pembunuhan adalah berunsurkan seksual.
Sumber: Qcostarica, Chipchick