berita

Tiba-Tiba Pengsan & Jatuh Dalam Sungai, Lelaki Lemas Ketika Bantu Mangsa Banjir

January 7th, 2021 | by AnisAffandi
Kini Trending

Bencana banjir yang sedang berlaku di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia semakin membimbangkan. Antara negeri yang teruk terkesan adalah negeri Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan, Perak dan Selangor. Disebabkan air naik dengan begitu cepat, ramai penduduk setempat tidak dapat untuk menyelamatkan harta benda mereka.

Lebih menyedihkan lagi apabila banjir ini turut meragut nyawa beberapa orang penduduk. Kejadian terbaru berlaku malam tadi apabila seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh dari perahu ketika dalam perjalanan menghantar mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Manjor.

Kejang akibat cuaca sejuk & kepenatan

Foto: Info Banjir Negeri Kelantan

Menurut laporan yang dipetik dari Harian Metro, Mohammad Hakimin Rahim, 20 tahun, jatuh perahu jam 10 malam semalam, sebelum dijumpai oleh ahli keluarganya di dasar sungai jam 8.30 pagi tadi. Dipercayai mangsa tiba-tiba pengsan sebelum jatuh ke dalam sungai ketika mendayung perahu untuk menghantar dua penumpang ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan.

Difahamkan, mangsa mengalami kekejangan lalu terjatuh perahu akibat cuaca yang sejuk dan terlalu penat membantu penduduk kampung sejak dari awal pagi sehingga malam.

Sehubungan dengan itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.07 malam dan seramai lima anggota telah diarahkan untuk ke lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dan ditamatkan pada jam 12.31 pagi tadi berikutan keadaan gelap selain hujan dan air mula menaiki beberapa kawasan rendah.

Pihak bomba juga bersiap untuk menyambung operasi mencari pada pagi tadi, namun, mayat mangsa sudah dijumpai oleh ahli keluarganya.

Rajin membantu penduduk kampung

Foto: Info Banjir Negeri Kelantan

Menurut satu perkongsian oleh Info Banjir Negeri Kelantan di Facebook, Mohammad Hakimin sangat rajin membantu orang kampung. Mangsa membantu orang kampung untuk mengalihkan dan mengeluarkan barang-barang penting kerana air yang semakin naik. 

Dia mmg kuat menolong org kg. Dia dari semalam tlong org kg keluarkan brg ii penting ke tmpat yg selamat. Pkul 2/3 pgi kejutkan org kg supaya alihkan kenderaan. Hrini pon start dri pgi lgi tlong angkt brg ii smpai lah ke mlm. Sbab air makin naik.

Sumber: Harian Metro, Info Banjir Negeri Kelantan.

SKIP THIS AD ×