Kes pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang telah mengakibatkan 18 buah sekolah terpaksa ditutup. Laporan terkini tiada sebarang kematian dan hanya seramai 506 pesakit yang telah dirawat.
Menurut laporan Sinar Online, Menteri Besar Johor, Dato Osman Sapian ketika di sidang media di Menara Aqabah menyifatkan keadaan itu masih terkawal dan tidak perlu diisytiharkan sebagai darurat.
Keadaan masih terkawal
Menteri Besar Johor mengesahkan pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor itu tidak perlu diisytiharkan sebagai darurat. Hal ini kerana situasi di kawasan tersebut masih terkawal berdasarkan laporan jabatan berkaitan.
Sebenarnya benda ini tidak ada menjejaskan begitu teruk kalau kita lihat hari ini. Itupun bukan sepanjang masa, mengikut keadaan. Kadang-kadang semasa panas, haba akan naik.
Kita lihat setiap laporan jabatan-jabatan ini, bukan satu perkara sehingga kita boleh anggap sehingga ada macam kita kena ‘declare’ darurat dan sebagainya, tidak. Jauh daripada itu, dalam keadaan terkawal.
Yang terjejas adalah sekolah
YB Dato Osman Sapian berkata pihak tertentu akan cuba sedapat upaya agar pencemaran ini tidak merebak kepada murid lain. Mengambil masa lebih kurang 4 hingga 5 hari proses pemulihan keadaan selepas tindakan di ambil.
Tambahnya lagi, penduduk di kawasan perumahan terdekat perlu dipindahkan segera. Bagaimanapun kawasan perumahan tersebut tidak terjejas melainkan sekolah-sekolah berhampiran.
Kerana sekolah ini dia terdedah. Rumah ini dia tutup pintu dan sebagainya. Dan mereka yang duduk di rumah ini biasanya mereka tidak keluar waktu siang hari dan sebagainya. Dan sebahagiannya daripada kerja.
Kalau ikutkan laporan bancian, perumahan ini dia tidak begitu terjejas. Yang terjejas adalah sekolah.
Jangan menunding jari atau berpolitik
Dato Osman Sapian juga menyeru kepada semua agar bertenang dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi menjalankan tanggungjawab ini. Tambahnya lagi, mana-mana pihak tidak perlu menunding jari dan mencari salah atau cuba berpolitik. Fokus utama adalah menumpukan kerja pengawalan dan merawat pesakit.
Saya tegaskan sekali lagi jangan menyebar sebarang berita palsu sebaliknya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menguruskan pencemaran ini.
Kita juga mengerakkan pelbagai bentuk kawalan yang lain, semasa kita menjalankan tugas ini. Dengan kawalan daripada PDRM, bomba dan sebagainya.
Dapatkan rawatan jika alami gejala ini
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly mengesahkan tiada kematian dan hanya 506 masih mendapat rawatan di hospital berdekatan. Dia turut mengingatkan orang awam dan penduduk berdekatan agar mengambil langkah-langkah pencegahan.
Orang awam diminta mengelakkan diri daripada masuk ke kawasan kejadian. Segera dapatkan rawatan jika alami gejala seperti loya, muntah, sesak nafas, sakit mata dan sakit dada.
Petugas yang terlihat dikawasan kejadian diminta mengambil langkah keselamatan dan pencegahan yang perlu termasuk alat pelindung diri yang sesuai.
Sumber: Sinar