Kecoh di media sosial seorang kanak-kanak perempuan dipercayai berusia 2 tahun ditemui dalam keadaan ketakutan sambil menangis di Taman Megah, Batu 9 di Cheras. Kanak-kanak tersebut kelihatan berseorangan sebelum dibawa ke Balai Polis Batu 9 untuk tindakan lanjut.
Terbaru, kanak-kanak perempuan itu telah diserahkan ibu bapa pada malam tadi setelah mengetahui berita yang viral di media sosial berkenaan anak mereka itu.
Tidak tahu siapa ibu dan bapanya
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mendapat panggilan telefon daripada ibu bapa kanak-kanak tersebut sebelum mereka datang ke balai polis. Menurut sumber, kanak-kanak berkenaan tidak tahu siapa ibu dan bapanya.
Ibu kepada kanak-kanak tersebut mengetahui berita ini melalui medium media sosial hasil bantuan dari masyarakat dan pengguna media sosial.
Keluar sendirian untuk bermain
Menurut pihak polis, ibunya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 9 malam bagi menuntut anak perempuannya itu dengan membawa segala dokumen rasmi sebagai bukti sokongan.
Hasil keterangan, kanak-kanak perempuan itu dipercayai keluar sendirian untuk bermain di luar rumah melalui pintu hadapan yang bertutup tetapi tidak berkunci. Dia diserahkan semula kepada kedua ibu bapa kandungnya dan dibawa pulang dengan selamat.
Pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak media dan orang ramai kerana membantu menyebarkan berita kehilangan kanak-kanak itu sehingga berjaya menyerahkan semula kepada keluarganya.
Sumber: Harian Metro