Tidur bukan sekadar keperluan asas untuk menjaga kesihatan tubuh badan, malah dalam Islam ia turut diberi perhatian melalui sunnah Nabi Muhammad S.A.W. yang mengajar adab, cara serta waktu tidur yang baik.

Artikel Berkaiatan: Keistimewaan Sedekah Hari Jumaat: Waktu Terbaik Raih Keberkatan & Pahala Berganda

Artikel Berkaitan: Kenali Punca & Cara Merawat Penyakit Ain

3 Jenis tidur dalam Islam

Kajian moden menunjukkan bahawa corak dan kedudukan tidur bukan sahaja mempengaruhi kualiti rehat, tetapi turut memberi impak kepada kesihatan fizikal dan mental, termasuk daya tumpuan, sistem imun, dan kesihatan jantung.

Menurut perspektif fiqah dan sunnah, Islam mengklasifikasikan tidur kepada tiga kategori utama.

Setiap kategori ini membawa implikasi yang berbeza, khususnya dalam aspek kesejahteraan dan kesihatan tubuh badan manusia.

Hailulah, sejenis tidur yang dikenali sebagai ‘tidur menghalang rezeki’ kerana ia berlaku apabila seseorang kembali tidur selepas menunaikan solat Subuh atau tidak bangun pada waktu pagi.

Jenis tidur kedua dikenali sebagai Qailulah, iaitu tidur seketika sebelum masuk waktu Zuhur, biasanya sekitar 25 minit hingga 30 minit.

Tidur pendek pada waktu ini amat digalakkan dalam sunnah Nabi Muhammad S.A.W. dan dianggap sebagai amalan sunat oleh sebahagian besar ulama.

Amalan tidur Qailulah bukan sahaja menyegarkan tubuh dan minda, malah membantu meningkatkan tenaga untuk aktiviti sepanjang hari.

Selain itu, jenis tidur ketiga dikenali sebagai ‘Ailulah, iaitu tidur selepas menunaikan solat Asar. Amalan tidur pada waktu ini umumnya tidak digalakkan kerana dipercayai boleh menjejaskan kesejahteraan fizikal dan emosi, termasuk dalam menimbulkan perasaan murung, resah, gelisah, mudah lupa, dan kecewa.

Tidur dari segi psikologi

Dari perspektif psikologi, tidur memainkan peranan penting dalam kesejahteraan mental dan fizikal seseorang.

Kajian menunjukkan bahawa individu yang memperoleh tambahan 60 minit hingga 90 minit tidur berkualiti setiap malam cenderung lebih gembira, lebih sihat, dan kurang terdedah kepada risiko bahaya.

Tidur berfungsi sebagai mekanisme semula jadi tubuh untuk menyegarkan otak dan merehatkan anggota badan. Tidur yang tidak cukup nyenyak dapat menghalang tubuh daripada menjalankan proses penting seperti pemulihan otot dan pengukuhan memori.

Kesan kurang tidur turut mempengaruhi kemampuan dalam membuat keputusan, ‘mood’, dan daya ingatan.

Masalah tidur yang berlarutan boleh meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik, termasuk obesiti dan tekanan darah tinggi, serta menjejaskan keselamatan semasa melakukan aktiviti harian seperti memandu.

Sumber: Taqwa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan