Tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Dungun disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah Kenderaan Utiliti Sukan (SUV).
Dirempuh SUV
Memetik laporan Buletin TV3, kejadian tersebut berlaku ketika keempat-empat pelajar tersebut sedang dalam perjalanan pulang ke kampus dengan menaiki dua buah motosikal.
Ketika dalam perjalanan, mereka kemudiannya dirempuh oleh sebuah SUV jenis Honda CRV yang dipandu oleh seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, Khairil Anuar Jamaluddin, 20, dan Mohd Akhmal Tukirin, 20 manakala seorang lagi rakan mereka yang cedera parah dikenali sebagai Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20.
Wanita didakwa kurang siuman
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mayat salah seorang mangsa telah terjatuh ke dalam longkang.
Kesemua mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang leher, cedera di kepala dan dada, serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian
Mayat kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, suspek yang melanggar keempat pelajar tersebut dipercayai merupakan seorang yang kurang siuman.
Menurut Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan, pihak polis sudah pun menahan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Kini, mayat kesemua mangsa kini telah pun diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan tindakan lanjut.
Sumber: Buletin TV3, Sinar Harian