Foto: Online Business Info
Pada era serba maju ini, ramai orang sudah mula berjinak dengan kemudahan internet dan media sosial untuk mendapat sumber maklumat di hujung jari. Bukan hanya untuk mendapat maklumat, antara kemudahan yang media sosial dan internet sediakan adalah pembelian atas talian atau ‘online shopping’.
Jadi, rugi sekiranya anda tidak menggunakan kemudahan platform internet untuk menjadikannya sebagai sumber mendapatkan pendapatan tambahan. Ramai rakyat Malaysia juga sudah sedar bahawa kemudahan untuk berniaga di ruang laman sosial seperti Facebook dan Instagram amat mudah. Lebih-lebih lagi pada waktu pandemik Covid-19, lebih sukar untuk memulakan perniagaan fizikal atau di premis. Ini antara tips bagaimana untuk anda memulakan perniagaan atas talian.
Mulakan perniagaan atas talian dengan ‘dropship’
Foto: Umma
Sebagai permulaan, anda tak perlu bersusah payah untuk mencipta produk anda sendiri. Cukup dengan menjual produk yang sudah mempunyai pengikutnya sendiri seperti sistem ‘dropship’ dimana anda menjual produk sedia ada, tetapi pada platform anda sendiri dan keuntungan anda merupakan daripada komisen. Kebanyakan sistem ‘dropship’ ini tidak memerlukan modal untuk mulakan perniagaan, kerana anda hanya perlu mencari pelanggan yang berminat untuk membeli produk yang anda jual.
Pelanggan lebih cenderung untuk membeli produk yang sudah mempunyai jenama yang kukuh ataupun sudah dipercayai. Jadi, tidak salah untuk anda menjual barangan perniagaan lain jika perniagaan itu menyediakan servis ‘dropship’ .
Tetapkan masa untuk perniagaan anda
Foto: Medium
Ramai orang menganggap bahawa perniagaan atas talian hanyalah kerja sampingan yang boleh diambil ringan. Sebenarnya tidak, kerana jika anda mahu perniagaan atas talian anda berjaya, kita perlulah membuang sikap sambil lewa dan ambil mudah itu.
Dinasihatkan supaya cari masa yang sesuai untuk membuat perniagaan atas talian dan fokus pada perniagaan itu sahaja. Elakkan gangguan yang boleh menjejaskan waktu produktif perniagaan atas talian. Ini untuk memastikan masa yang di peruntukkan untuk buat promosi perniagaan atas talian anda dengan lancar. Anda juga boleh meluangkan masa untuk menguruskan wang perniagaan anda supaya menjadi lebih terurus.
Promosi jualan yang konsisten
Foto: Reseller Club
Jangan terlalu gelojoh dalam perniagaan kerana tiada sebarang teori yang mengatakan jika mengeluarkan modal yang besar menjanjikan keuntungan yang besar. Keuntungan yang besar akan datang sekiranya jualan dan promosi anda konsisten.
Tidak salah jika anda mahu melaburkan modal yang besar, tetapi anda harus ada ilmu untuk melakukan dan menguruskan jualan anda. Mulakan dari kecil dan tingkatkan modal anda bila perniagaan anda semakin maju. Namun, anda perlu memastikan hasil kerja anda secara atas talian itu menguntungkan dari segi masa dan wang.
Kukuhkan platform perniagaan anda
Foto: Deposit Photos
Dinasihatkan supaya elakkan membuat pinjaman bank atau rakan-rakan anda untuk memulakan perniagaan atas talian, kerana anda tidak memerlukan modal yang besar disebabkan tidak memerlukan premis atau pekerja.
Perkara yang penting perlu anda lakukan pada permulaan perniagaan anda adalah memperkasakan platform anda di Facebook atau Instagram. Jika platform anda sudah kukuh, sudah pasti proses jual beli anda dengan pelanggan lebih lancar.
Kukuhkan teknik pemasaran
Foto: Marketing Signal Lab
Walaupun berniaga di atas talian nampak mudah, tetapi ia menjadi sukar apabila banyak saingan kerana sudah ramai yang mula untuk berniaga di atas talian dan perniagaan anda mungkin sukar untuk diketahui pelanggan.
Keberkesanan anda boleh diukur dengan kemudahan yang disediakan oleh platform Facebook dan Instagram melalui data yang disediakan. Untuk menjadi lebih dikenali dalam pasaran, teknik pemasaran anda haruslah kukuh dengan ‘design’ produk atau poster promosi perniagaan anda yang sedap mata memandang supaya pelanggan tertarik untuk membeli produk yang anda jual. Pastikan cara pemasaran anda lain dari yang lain supaya dikenali ramai pelanggan.
Sumber: Azizan Osman.