Lingkaran gelap dan bengkak di bawah mata atau yang biasa dikenali sebagai eyebag adalah masalah yang sering mengganggu penampilan dan keyakinan diri.

Artikel Berkaitan: Sukar Tidur? Ketahui Faktor & Penyelesaian Insomnia

Artikel Berkaitan: Sedap Tapi Bahaya! Ini Risiko Minuman Berkarbonat Terhadap Kesihatan

Faktor menyebabkan lingkaran bawah mata gelap

Masalah ini bukan sahaja membuatkan wajah kelihatan letih dan lesu, malah kadangkala boleh menimbulkan persepsi kurang sihat di mata orang lain.

Beberapa keadaan boleh menyumbang kepada masalah lingkaran gelap di bawah mata, termasuk reaksi alahan yang boleh mencetuskan inflamasi dan seterusnya menimbulkan lingkaran gelap.

Sesetengah masalah kesihatan, seperti gangguan tiroid, turut dikaitkan dengan pembengkakan bawah mata.

Faktor genetik juga memainkan peranan, di mana individu yang mempunyai ahli keluarga dengan eyebag, lebih berisiko mengalaminya.

Tambahan lagi, proses penuaan yang menyebabkan kulit kehilangan keanjalan, sekali gus menjadikan eyebag lebih ketara.

Cara mudah kurangkan lingkaran gelap bawah mata

Salah satu cara mudah mengurangkan lingkaran gelap ialah meletakkan uncang teh sejuk di atas mata selama tiga minit.

Selain itu, tidur yang cukup sekurang-kurangnya tujuh jam sehari dapat mengurangkan lingkaran gelap. Hal ini kerana, kekurangan tidur menyebabkan saluran darah bawah mata mengembang dan eyebag lebih jelas.

Menggunakan objek sejuk seperti ais batu yang dibalut dengan kain dan meletakkannya di kawasan bawah mata juga merupakan cara efektif untuk mengurangkan eyebag.

Ini kerana suhu yang sejuk dapat membantu mengecilkan saluran darah di bawah mata, sekaligus mengurangkan bengkak.

Untuk mengurangkan pembentukan eyebag, elakkan pengambilan makanan tinggi garam kerana ia boleh menyebabkan penahanan air, seterusnya membuatkan kawasan bawah mata kelihatan bengkak.

Kawasan bawah mata juga sangat sensitif dan mudah terjejas oleh cahaya UV, justeru penggunaan pelindung matahari secara konsisten amat digalakkan.

Selain itu, pastikan semua sisa solekan dibersihkan sebelum tidur, kerana bahan kimia yang tertinggal boleh menyebabkan kulit bengkak, jerawat dan menyumbang kepada pembentukan eyebag.

Akhir sekali, elakkan merokok kerana kandungan nikotin dalam rokok boleh menyumbang kepada bengkak dan gelap di bawah mata.

Sumber: Hello Doktor