Sejak beberapa hari lepas, dua pelakon terkenal iaitu Tiz Zaqyah dan Diana Danielle dilihat aktif berkongsi foto-foto dengan gadis Somalia di Instagram mereka.
Perkongsian mereka telah membuatkan peminat tertanya-tanya hingga ada yang berpendapat Tiz dan Diana ke luar negara untuk menjalani penggambaran.
Namun untuk pengetahuan anda, Tiz dan Diana sebenarnya terlibat dalam sebuah projek dikenali sebagai Be Beautiful Workshop bertempat di Fugee School.
Selain daripada mereka, Deborah Henry juga tidak ketinggalan untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman peribadi mereka dalam menaikkan semangat pelajar pelarian perempuan.
Bengkel yang dihadiri oleh pelarian Somalia berusia antara 14-17 tahun dimulakan dengan pembentangan tentang kulit dan kebersihan oleh Deborah Henry dan Tiz.
Manakala Diana pula mengacarakan segmen kedua dengan mengajar tentang teknik solekan yang betul dan jenis-jenis solekan yang sesuai untuk kulit seseorang.
Beberapa organisasi ternama dan persatuan pergerakan belia seperti Lazada Malaysia, Luxuria Cosmetics dan KL Calling turut sama berganding bahu dalam menjayakan projek ini.
Untuk makluman, Fugee School yang ditubuhkan oleh Deborah Henry dan Shikeen Halibullah ini menempatkan lebih daripada 100 orang pelarian Somalia bagi memberi mereka peluang untuk menimba ilmu dalam suasana selamat dan bebas dari diskriminasi.
Menarik sungguh apa yang dilakukan oleh selebriti-selebriti ini, kan? Apapun, di sini OHBULAN! sertakan foto yang dikirim oleh KL Calling untuk tatapan anda.