Baru-baru ini, kumpulan Caliph Buskers meluahkan rasa kecewa apabila sebuah penganjur tidak melunaskan bayaran RM10,000 kepada mereka setelah selesai melakukan persembahan di Pulau Pinang pada 9 dan 10 Disember lalu.
Patut terima RM10k
Menurut salah seorang anggota kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, mereka semua sangat memerlukan wang berkenaan. Tambah Fendy, perkongsian yang dibuat di Instagram itu bukan berniat mahu mengeruhkan keadaan dengan pihak terbabit, namun sekadar meluahkan situasi dihadapi mereka.
Untuk dua hari persembahan, kami sepatutnya menerima bayaran yang sudah dipersetujui dengan penganjur sebanyak RM10,000. Namun, sehingga sekarang masih belum mendapat bayaran itu walaupun separuh daripadanya. Pihak penganjur memberi pelbagai alasan penangguhan bayaran kepada kami, dan setakat ini tidak diselesaikan lagi. Kami (Caliph Buskers) sudah banyak bertolak ansur, jadi mohon bayarlah wang persembahan dijanjikan itu.
Anggota Caliph Buskers ini insan ‘istimewa’. Jadi, kami sangat memerlukan wang itu untuk menyara keluarga kerana pembabitan dalam karier seni adalah punca pendapatan kami. Ditambah, sekarang cuti sekolah dan kami pun nak bawa anak jalan-jalan juga. Selain itu, kami sebenarnya sudah menolak beberapa undangan persembahan lain kerana mahu memenuhi ‘show’ penganjur terbabit. Apatah lagi, mereka berjanji untuk membayar kami selepas selesai membuat persembahan.
Disoal kenapa mereka tidak mengambil wang pendahuluan sebelum persembahan, Fendy berkata mungkin mereka terlalu berlembut dan akhirnya menjadi mangsa pihak berkenaan.
Beri tempoh malam ini
Terbaru, menerusi laporan Berita Harian, pengurus Caliph Buskers, Syed Ezaham Jamil berkata, mereka memberi tempoh sehingga malam ini kepada pihak penganjur untuk melangsaikan hutang tersebut. Sekiranya transaksi pembayaran masih tidak dilakukan, mereka tidak teragak-agak membuat laporan polis dan membawa kes ke muka pengadilan.
Sumber: Caliph Buskers & Berita Harian