berita

Tony Fernandes Beri Tiket Flight Percuma & Peluang Kerja Buat Pengunjung PBAKL 2019

April 1st, 2019 | by Epul
Kini Trending

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru saja membuka tirainya pada 29 Mac (Jumaat) yang lalu. Ribuan pengunjung dilihat membanjiri dewan bagi merebut promosi dari pelbagai jenama, penulis dan penerbit buku seluruh Malaysia.

Tidak melepaskan peluang ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes turut melancarkan buku kisah inspirasinya sebagai usahawan Asia paling berjaya, Flying High dalam versi Bahasa Malaysia, Sabtu lalu. Ratusan pengunjung singgah di pentas utama bagi menyaksikan detik bermakna buat Tony itu…

Tanya rahsia kejayaan

Ketika berucap melancarkan buku berkenaan, Tony membuka ruang kepada penonton bertanyakan soalan kepadanya dan menawarkan hadiah berupa tiket penerbangan AirAsia pergi dan balik secara percuma. Syaratnya, soalan itu haruslah dalam Bahasa Malaysia dan Tony mampu memahami serta menjawabnya.

Dua penonton bertuah, Muhammad Ameruddin Mohd Roslin dan Fatin Anati Abd Halim pantas naik ke pentas utama dan bertanyakan soalan dalam Bahasa Malaysia secara lancar dan mudah difahami.

Muhammad Ameruddin (kiri)

Muhammad Ameruddin bertanyakan rahsia kejayaan Tony sehingga mampu berjaya dalam dunia perniagaan. Kata Tony, beliau sentiasa percaya akan angan-angan kerana tiada apa yang mustahil jika berbekalkan semangat dan azam yang tinggi.

Berkat soalan itu, Muhammad Ameruddin menerima tiket penerbangan pergi dan balik ke destinasi pilihannya, Seoul, Korea Selatan. Tahniah!

“Ada kerja kosong tak?”

Fatin (tengah)

Lain pula bagi seorang lagi penonton bertuah, Fatin Anati Abd Halim yang bertanyakan soalan sedikit berbeza selepas memuji suasana pejabat pengurusan RedQ AirAsia. “Ada kerja kosong tak?”, kata Fatin disusuli gelak tawa dan keterujaan penonton lain.

Siapa sangka, Tony yang kita kenali sebagai seorang yang sangat sporting, menawarkan Fatin untuk bekerja sebagai pembantu peribadinya selama seminggu di RedQ AirAsia! Selain itu, Tony juga menawarkan jawatan di bahagian perbankan BigPay mengikut jurusan perbankan islamik yang dimiliki!

Bukan tu je, Fatin turut menerima tiket penerbangan pergi dan balik ke destinasi pilihannya, Jeju, Korea Selatan. Untungnya, dah dapat tiket flight percuma, dapat kerja dekat AirAsia lagi!

Rugilah siapa tak datang PBAKL 2019 di PWTC Sabtu lalu bagi menyaksikan pelancaran buku Flying High versi Bahasa Malaysia oleh Tony Fernandes ni. Silap haribulan, boleh dapat tiket flight percuma lagi!

Dapatkan Flying High versi Bahasa Malaysia di PBAKL 2019, 500 mata ganjaran AirAsia BIG Points menanti korang

Flying High terbitan Kumpulan Buku Karangkraf berkisar tentang kesabaran dan ketekunan Tony dalam mencapai cita-cita dan impiannya bagi memulakan syarikat penerbangan tambah rendah suatu ketika dulu. Kini, AirAsia merupakan syarikat penerbangan berbilion dolar!

Tony (kanan) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Dato’ Hussamuddin Hj Yaacub (tiga dari kiri)

Kata Tony, impian boleh menjadi realiti kalau korang berani bermimpi.

“Saya berharap buku ini akan menggalakkan dan memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia untuk memburu impian mereka seperti saya”

Flying High atau dalam versi Bahasa Malaysia, ‘Terbang Tinggi’ boleh didapati pada harga RM35 di PBAKL 2019 dan di semua kedai buku utama di seluruh Malaysia bermula bulan hadapan.

Untuk pengetahuan korang semua, pembaca yang membeli Terbang Tinggi di PBAKL 2019 akan mendapat 500 mata ganjaran AirAsia BIG Points dan 500 mata ganjaran BIG Points tambahan kalau korang buat pembayaran dengan Kad Kredit AirAsia!

Flying High yang telah dilancarkan pada Oktober 2017 ini boleh didapati dalam Bahasa Inggeris, Korea, Jepun dan kini dalam Bahasa Malaysia. Jom dapatkan sekarang!

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×