berita

Tragedi Langgar 8 Remaja Basikal Lajak, Tertuduh Dilepas & Dibebaskan Mahkamah Hari Ini

October 28th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Jika ada yang masih ingat, pada dua tahun lalu negara kita pernah kecoh dengan berita kematian membabitkan lapan remaja berbasikal yang dilanggar oleh seorang wanita muda. Setelah dua tahun berlalu, kes kemalangan yang dilaporkan berlaku pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017 itu telah pun menemui jawapannya hari ini.

Menerusi laporan Berita Harian, tertuduh yang merupakan seorang jurujual wanita telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dakwaan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan orang remaja.

Bebas tanpa dipanggil membela diri

Mengikut laporan itu, Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan sejak kes itu dibicarakan pada 28 Mac 2017.

Siti Hajar membebaskan Sam Ka Ting tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Alasan penghakiman itu juga turut mengambil kira keterangan seramai 46 saksi pendakwaan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan dengan 214 eksibit.

Jalan berbukit dan gelap

Sementara itu Siti Hajar dalam penghakimannya berkata, pembebasan terhadap wanita itu dibuat bersandarkan beberapa faktor termasuk situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh.

Katanya situasi itu menyebabkan pemandu tidak boleh menjangkakan terdapat kumpulan berbasikal yang ramai di jalan itu pada jam 3 pagi selain keadaan bahaya itu sendiri dicipta kumpulan basikal lajak tersebut.

Berdasarkan keterangan pasukan penyiasat, terdapat pokok besar di laluan berkenaan dan pencahayaan malap walaupun terdapat lampu di tembok pembahagi jalan.

Aktiviti itu (basikal lajak) sudah umum diketahui di situ (lokasi kejadian), terdapat aduan mengenai perlumbaan basikal lajak di situ. Adalah munasabah mereka yang lalu di situ akan menjangka situasi terjadi namun hanya terpakai kepada penduduk di situ dan mereka yang selalu menggunakan jalan itu.

Ia tidak adil kepada pengguna yang jarang menggunakan jalan itu atau penduduk yang tidak tinggal di situ.

Bukan di bawah pengaruh alkohol

Malah Siti Hajar juga berkata, hasil siasatan turut mendapati tertuduh yang pada ketika itu berusia 22 tahun tidak memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit serta turut memakai tali pinggang kaledar yang secara tidak langsung membuktikan wanita itu memandu dalam keadaan bertanggungjawab dan berjaga-jaga.

Maka bersandarkan kepada alasan yang saya nyatakan sebentar tadi, jika saya memutuskan tertuduh untuk membela diri, beliau memilih untuk berdiam diri bagi pertuduhan dikemukakan terhadap beliau.

Persoalannya adakah saya akan mensabitkan beliau berdasarkan kepada keterangan dikemukakan pihak pendakwaan. Jawapan saya adalah tidak. Dengan itu, tertuduh mesti dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Ka Ting sebelum ini didakwa menyebabkan kematian Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Sumber: Berita Harian, Sinar Harian

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×