Seorang lelaki dilaporkan maut manakala dua rakannya yang lain cedera ringan selepas dipanah petir di Kampung Padang Tanjung, Marang, Terengganu.
Artikel Berkaitan: Lelaki Maut Dipanah Petir Ketika Dalam Perjalanan Ke Tempat Kerja
Kesemua mangsa sedang memikat burung
Gambar sekadar hiasan
Memetik laporan Harian Metro, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Hasan Mohd Rani, 38, manakala dua lagi rakannya yang cedera dikenali sebagai Mohamad Fadilah Jusoh, 37, dan Abdul Hisyam Muhamad.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris memaklumkan bahawa kejadian tersebut difahamkan berlaku ketika ketiga-tiga sahabat itu sedang memikat burung di kawasan tanah lapang di kawasan kampung berkenaan.
Difahamkan, kesemua mangsa yang sedang memikat burung pada awalnya mencari tempat berlindung di sekitar kawasan berkenaan ekoran hujan lebat serta ribut petir.
Mangsa dikatakan berlindung di bawah pokok berhampiran tempat mereka memikat burung sebelum disambar petir.
Tempias dari panahan itu turut terkena dua lagi rakannya yang juga berada di bawah pokok berkenaan.
Mohd Hasan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payung.
Mangsa yang maut kemudiannya dibawa ke Unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Harian Metro