Foto: Sekadar gambar hiasan
Dua pengembara yang menaiki penerbangan dari Afrika Selatan dan transit di Singapura, dikesan positif varian baharu Covid-19, Omicron ketika tiba di Sydney, Australia.
Menjalani proses kuarantin
Menerusi laporan Utusan Malaysia, dua pengembara tersebut dipercayai tiba di Sydney pada pukul 9.20 malam dengan menaiki pesawat Singapore Airlines. Menurut Kementerian Kesihatan Singapura, kedua-dua pengembara tersebut berlepas dari Johannesburg pada 27 November lalu dan tiba di Lapangan Terbang Changi pada hari sama untuk transit. Pada hari Sabtu yang lalu, semua pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek dengan sejarah perjalanan ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe dalam tempoh 14 hari lalu, dilarang memasuki atau transit di Singapura.
Ujar Kementerian Kesihatan Singapura lagi, ujian saringan prapenerbangan di Afrika Selatan terhadap dua pengembara tersebut negatif dan kebanyakan penumpang pesawat tersebut kekal di kawasan transit di Changi sehingga berlepas ke Sydney pada 28 November yang lalu. Tambah MOH, kedua-dua pengembara tersebut tidak memasuki Singapura mahupun melawat kawasan lain di lapangan terbang tersebut.
Seorang lagi adalah kontak rapat kepada individu dijangkiti dalam penerbangan itu, dan sudahpun dikuarantin. Pengesanan kontak sedang diteruskan ke atas kakitangan lapangan terbang yang berkemungkinan mempunyai kontak seketika dengan kes terbabit.
Sudah divaksin
Di samping itu, enam penumpang yang lain kini menjalani kuarantin selama 10 hari di sebuah fasiliti khusus dan akan menjalani ujian saringan PCR. Terdahulu, Kementerian Kesihatan New South Wales dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua penumpang terbabit tiba di Sydney dari Afrika Selatan dengan menaiki pesawat SIA SQ211. Menurut kenyataan itu lagi, dua individu terbabit sudah lengkap vaksinasi serta diasingkan di kemudahan kesihatan khas.
Semua individu yang berada dalam pesawat itu dianggap sebagai kontak rapat, sekali gus perlu segera menjalani ujian saringan COVID-19 dan dikuarantin 14 hari, tanpa mengambil kira status vaksinasi mereka.
Justeru itu, pihak Kementerian Kesihatan New South Wales akan menghubungi semua penumpang dan kru pesawat bagi memaklumkan mengenai keperluan pengasingan itu.