berita

Trend Raya Kongsi Nombor Akaun Bank ‘Mudahkan’ Kerja Scammer Curi Data Maklumat

May 26th, 2020 | by Amat Larbsib
Kini Trending

Menyambut perayaan di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya menghadkan suasana hari raya seperti tahun-tahun sebelum ini. Tidak dinafikan kemeriahan bersalaman dan menghulurkan duit raya juga tidak dapat dirasai.

Walaubagaimanapun, rata-rata antara kita kelihatan meriah berkongsi nombor akaun di media sosial untuk membolehkan menerima duit raya dari keluarga dan kenalan. Tetapi tahukah anda bahawa tindakan demikian akan mengundang bahaya?

Mungkin kelihatan tidak bahaya tetapi…

Menerusi perkongsian dari thread Aisyah Shakirah mendedahkan sikap segelintir masyarakat kita yang leka dengan berkongsi nombor akaun di media sosial. Seolah menjadi trend baharu untuk menerima duit raya seiring mengikuti peredaran teknologi.

Individu ini merupakan Pengurus Penglibatan Komuniti Serantau Asia Pasifik di Internet Society memberi peringatan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat akaun di laman sosial.

Ia mungkin kelihatan tidak berbahaya, tetapi apabila anda berkongsi maklumat akaun bank anda secara terbuka, anda menghadapi risiko penipuan, terutamanya melalui pancingan data. Lebih teruk lagi jika anda juga memaparkan data peribadi lain seperti nombor telefon peribadi, alamat e-mel dan sebagainya.

Penjenayah menyamar jadi anda

Tindakan anda itu membolehkan penjenayah mengambil maklumat mangsa dan memudahkan penyamaran dan menipu. Mungkin anda tidak nampak kesan buruk, namun informasi tersebut boleh dimanipulasikan pihak tidak bertanggungjawab.

Penjenayah kemudian dapat menyamar sebagai anda, dan juga mungkin mendapat akses ke akaun bank anda, termasuk melalui perbankan Internet. Katakan anda kongsi nombor akaun Maybank, sekarang scammer dah tahu nama penuh dan anda guna Maybank.

Yang tinggal sekarang adalah untuk dapatkan maklumat seperti emel, nombor IC, alamat dan lain-lain bagi membolehkan mereka jalankan Social Engineering (SE) lebih mendalam.

Di Malaysia ni data breach bersepah-sepah, kau dan aku mungkin sebahagian dari breach tersebut. Tapi itulah ramai tak sedar atau langsung tak nak ambik tahu.

Setiap inci maklumat anda sebenarnya berguna untuk scammer, sebab bila scammer itu boleh beritahu maklumat anda dengan tepat dan terperinci, lebih tinggi peluang anda terpedaya.

Sumber: Aisyah Shakirah