Pelaksanaan undang-undang Islam termasuk yang berkaitan dengan jenayah telah menjadi hasrat dan cita-cita pejuang Islam di Malaysia sejak sekian lama. Pada tahun 1990, kerajaan Kelantan telah menubuhkan satu pasukan khas untuk merealisasi hasrat tersebut. Pasukan ini menggabungkan pelbagai kepakaran dari kalangan pemimpin politik, ahli akademik dan mengamalkan undang-undang.
Namun, perlaksanaan hukum hudud ini masih lagi dalam perancangan kerana banyak lagi aspek yang harus dipertimbangkan. Terbaru, kerajaan Kelantan tidak menolak kemungkinan akan menggunakan khidmat pakar bedah untuk menjalankan hukuman potong tangan terhadap penjenayah yang disabitkan kesalahan mencuri sebaik hukum hudud dilaksanakan.
Tidak rosakan anggota badan lain
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah melalui Metro Online memberitahu khidmat pakar diperlukan bagi mengelakkan kerosakan pada anggota badan lain.
Ulama berpandangan dalam zaman moden ini perlu menggunakan khidmat pakar bedah supaya ia dipotong mengikut pergelangan tangan yang tidak akan mencederakan lengan.
Kita mengenal pasti kaedah yang bersesuaian dan lebih praktikal. Mereka (pakar bedah) memerlukan panduan dan penjelasan daripada segi agama terutama mengenai paras tangan yang perlu dipotong.
Kerajaan negeri juga akan menjadikan pelaksanaan hudud di Qatar, Arab Saudi dan Acheh, Indonesia sebagai contoh dalam melaksanakan hukum hudud di negeri ini.
Tukang potong tangan sudah ada?
Menerusi Astro Awani, Datuk Amar memberitahu kerajaan negeri Kelantan sudah mempunyai bayangan individu yang akan ditugaskan untuk menjadi tukang potong. Bagaimanapun kumpulan doktor pakar berkenaan masih belum dilantik memandangkan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) Akta 355 masih dibahaskan di Parlimen.
Respon ketua hakim syarie Kelantan
Walau bagai mana pun, Ketua Hakim Syarie Kelantan berkata, sebelum hukuman potong tangan dijalankan pelbagai perkara perlu diambil kira.
Sebagai contoh, nak sampai peringkat potong tangan ini bukan senang kerana satu kesalahan itu ada banyak pengecualian.
Pesalah pula dalam satu-satu kes tidak semestinya dipotong tangan kerana mungkin dia dalam keadaan terdesak, kelaparan atau apa-apa masalah yang menyebabkan terpaksa mencuri.
Sumber: Metro Online, Astro Awani