Isu keganasan rumah tangga membabitkan penyanyi terkenal Indonesia iaitu Lesti Kejora dan suaminya, Rizky Billar semakin menjadi bualan hangat netizen di Indonesia dan Malaysia. Malah, turut tular di media sosial beberapa foto memperlihatkan keadaan terkini Lesti yang berada di hospital sambil memakai pendakap leher.
Artikel Berkaitan: Terpalit Isu Keganasan Rumah Tangga, Nama Rizky Billar ‘Digam’ Seluruh Stesen TV & Radio
Tular foto Rizky selepas KDRT
Menerusi laporan sebelum ini, penyanyi berusia 23 tahun ini sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas empat hari menerima rawatan di hospital. Difahamkan juga, Lesti memilih untuk tinggal di rumah ibu bapanya dan enggan pulang ke rumah yang didiami bersama Rizky Billar kerana masih trauma dengan insiden yang menimpa dirinya itu.
Sejak daripada isu keganasan rumah tangga yang dilakukannya, Rizky Billar hanya mendiamkan diri malah tidak aktif di media sosial. Oleh hal demikian, netizen mula mengikuti akaun media sosial ahli keluarga Rizky. Di sebalik kesibukan orang ramai yang bimbang akan keadaan kesihatan dan mental Lesti, tular pula satu foto Rizky Billar di Instagram.
Tersenyum lebar di sisi ibu?
Foto yang dimuat naik di InstaStory kakak Rizky Billar iaitu Nova Pratiwi memaparkan Rizky bergambar dengan ibunya sambil kedua-duanya tersenyum lebar. Foto tersebut berlatar belakangkan lagu Surga Di Bawah Telapak Kaki Ibu nyanyian Merpati Band. Difahamkan, itu merupakan ‘kemunculan pertama’ Rizky di media sosial selepas isu keganasan rumah tangga yang dilakukannya.
Walaupun begitu, tidak dapat dipastikan bilakah foto itu diambil dan apakah tujuan Nova memuat naik foto tersebut disaat nama Rizky Billar sedang hangat diperkatakan.
Perkara tersebut secara tidak langsung mendapat pelbagai respon daripada netizen dan rata-rata daripada mereka mula membanjiri ruangan komen Instagram ibu Rizky dengan bertanyakan tanggapan seorang ibu apabila mengetahui anak lelakinya itu menganiaya isterinya sendiri.
Mak cik, macam mana anaknya tergamak buat macam tu. Minta tolong nasihatkan, kasihan Lesti.
Tolong ya mak cik, beritahu anaknya isteri adalah wanita sama seperti seorang ibu dan seharusnya dia perlu memuliakan isteri seperi Rizky Billar memuliakan ibu.
Mak cik sangka tak Billar sejahat itu, mak cik pasti kecewa ya.
Sumber: Insertlive