Awi Rafael berkata walaupun lagu-lagu yang dirakamkan dalam album terbaru beliau penuh dengan konsep cinta, namun ia bukanlah ditujukan kepada kekasih atau girlfriend sahaja. Sebaliknya, ada sebuah lagu yang dicipta mempunyai unsur spiritual sebagai salah satu usahanya untuk berdakwah kepada para pendengar.
“Kalista adalah sebuah lagu yang ditujukan khas kepada bekas kekasih saya yang ditulis sebelum saya berangkat ke Australia lagi. Macam orang kebanyakan juga, saya menggunakan orang terdekat untuk dijadikan inspirasi ketika menulis lagu,” kata Awi Rafael sejurus tamat majlis Curi-Curi Dengar Album Terbaru Awi Rafael yang berlangsung di sebuah pusat karaoke di ibu kota, Khamis lepas.
Berkata kepada OHBULAN!, pihak rakaman memberikan kepercayaan kepada beliau untuk memberikan yang terbaik demi menjayakan album terbaru ini.
“Untuk album terbaru ini, saya diberikan kebebasan untuk menulis lagu sendiri. Saya ingin menjadi seperti band Hujan atau pun Aizat, dimana mereka mempunyai imej dan identiti tersendiri. Untuk album ini sahaja, saya telah tulis dalam 50-60 buah lagu. Bagaimanapun, hanya 9 trak lagu sahaja yang akan dimuatkan.
“Sebenarnya, ada sebuah lagu saya cipta khas untuk berduet dengan penyanyi Alyah. Sepatutnya lagu itu dimuatkan dalam album terbaru ini. Bagaimanapun, ada beberapa perkara menggangu sehingga kami terpaksa menangguhkan hasrat tersebut. Insyallah, jikalau ada rezeki, lagu tersebut akan saya riliskan juga,” ujarnya sambil mendedahkan tajuk lagu tersebut yang berjudul ‘Sayu Ku Berhenti’.
Album Awi Rafael dijangka akan keluar ke pasaran pada bulan Jun ini.