berita

Tunjuk Ajarku Sifu! Jom Sertai Ujibakat Mentor Milenia 2019 Di Shah Alam Hujung Minggu Ini

September 4th, 2019 | by Shira
Shout Out!

Korang ada bakat menyanyi dan bercita-cita nak jadi seorang penyanyi terkenal suatu hari nanti? Jangan lepaskan peluang sertai ujibakat program Mentor Milenia 2019 yang bakal diadakan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 7 dan 8 September ini.

Inilah masa yang sesuai untuk korang serlahkan bakat terpendam selama ini! Jika mara ke peringkat seterusnya, korang berpeluang mengembangkan lagi bakat nyanyian menerusi tunjuk ajar artis-artis terkenal tanah air.

Dua mentor baru

Mentor Milenia musim ketiga ini akan menampilkan dua mentor baru iaitu Ernie Zakri dan Stacy disamping mengekalkan mentor pada musim lalu iaitu Black, Hazama dan Akim.

Apa yang menariknya, pencarian mentor pada musim ini tampil dengan format yang baru di mana proses ujibakat mengikut mentor akan dimansuhkan. Para peserta tidak akan dinilai hanya pada seorang mentor tetapi mereka akan dinilai oleh kesemua mentor sewaktu ujibakat tersebut.

Hadiah lumayan menanti!

Juara Mentor Milenia pada tahun ini akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100, 000 berserta trofi Mentor Milenia 2019. Selain itu, juara juga akan mendapat lagu debut ciptaan salah seorang komposer ternama di Malaysia serta lengkap dengan video muzik untuk dijadikan OST drama yang bakal ditayangkan di TV3.

Pemenang juga berpeluang menerima waktu promosi televisyen dan radio yang bernilai RM500, 000 dan dokumentari pendek kisah mereka sepanjang di Mentor Milenia yang akan ditanyangkan di saluran Youtube TV3 Malaysia.

Jom sertai Mentor Milenia 2019

Sekiranya korang berminat untuk menyertai pencarian Mentor Milenia, jangan lepaskan peluang untuk menghadirkan diri ke Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 7 dan 8 September ini.

Para peserta yang berminat haruslah berusia antara 17 hingga 23 tahun dan berwaganegara Malaysia atau Singapura. Korang boleh muat turun borang pendaftaran di http://www.xtra.com.my/mentormilenia dan borang yang telah diisi perlu dibawa bersama ke ujibakat. Juga diingatkan supaya bawa bersama kad pengenalan, gambar berukuran passport atau 3R serta minus one lagu yang bakal dipersembahkan untuk penilaian.

Mentor Milenia 2019 mempunyai 10 episod keseluruhannya dan bakal menemui penonton bermula 6 Oktober 2019 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 11.30 malam. Mentor Milenia pada musim ini dihoskan oleh pengacara, pelakon dan penyanyi terkenal iaitu Shuk Sahar, Elly Mazlein dan Sissy Iman.

Untuk maklumat lanjut, boleh ke laman sesawang http://www.xtra.com.my/mentormilenia.