Stesen TV AlHijrah membuka tirai tahun baharu 2024 dengan nafas baharu menerusi pengisian program-program terbaik sepanjang tahun. Pelbagai pengisian menarik dan bermanfaat telah diatur untuk penonton setia.
Artikel Berkaitan: 6 Juara Berentap Di Final Anugerah Carta 114! Fitri Haris & InTeam Antara Persaing Sengit
Artikel Berkaitan: Al Maqari Nafi Muncul Juara Sebab Pengacara Program Pentas Marhaban – ‘Sepanjang Saingan Kami Bersifat Profesional’
Sokongan penonton
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah melabuhkan tirai tahun 2023 dengan pelbagai kejayaan dan rekod terbaik yang berjaya dicapai.
2023 menyaksikan TV AlHijrah kekal menjadi saluran Islamik nombor satu di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 45% berbanding pada tahun sebelumnya.
TV AlHijrah berada di kedudukan top 5 daripada semua saluran semasa kempen #PalestinKembali diadakan lantas menjadikan prestasi TV AlHijrah pada masa ini adalah paling tinggi sejak penubuhan TV AlHijrah 13 tahun yang lalu.
Selain itu, stesen ini melalui data AC Nielsen menjadi pilihan utama penonton sepanjang Ramadan, Syawal, Haji, Awal Muharam dan Maulidur Rasul tahun lalu.
Sebagai rekod, program-program menarik lain yang telah mencatatkan capaian penonton tertinggi 2023 ialah rancangan Assalamualaikum yang berjaya mencapai 12.5 juta screenview sepanjang tahun.
Berita AlHijrah berjaya mencapai sebanyak 7.3 juta screenview. Quran@114 juga cemerlang dengan pencapaian screenview 7.3 juta setahun dan Pentas Marhaban dengan 3.2 juta screenview.
Namanzee turut menambah, bagi tahun 2024, stesen TV AlHijrah masih lagi mengekalkan konsep hiburan berilmu dengan meneroka format baharu rancangan Islamik tanpa menepikan pemerhatian khusus kepada tiga kunci utama penyiaran iaitu patuh syariah, kreatif dan popular.
Oleh yang demikian, bermula 20 Januari, program Akademi Qurra’ 2024 bakal ditayangkan, setiap Sabtu, jam 9 malam.
Program ini kembali di musim baru setelah kejayaan mendapat 4.4 juta tontonan screenview secara keseluruhan di musim pertama siarannya.
Ujibakat hibrid yang berlangsung hampir sebulan Disember lalu, menyaksikan 12 orang qari qariah berbakat, lingkungan usia 18 hingga 35 tahun dipilih sebagai role model yang berpotensi mentarbiah serta melahirkan masyarakat penonton yang cintakan al-Quran dan seni persembahannya.
Dua mudarrisah baru diperkenalkan iaitu Mudarrisah Suhailah Zulkifly serta Mudarrisah Nadia Hashim. Manakala, Mudarris Amar Mukhlis masih dikekalkan.
Pelbagai pengisan baharu
TV AlHijrah turut membariskan rancangan terbaik lain tahun ini. Antaranya adalah Riwayat Akhir Zaman, Quran@114 dan Carta 114. Kesemua program ini membaja ilmu, iman serta ketakwaan kepada Sang Pencipta.
Tidak dilupakan, bagi penggemar rancangan 30 Minit Bersama, tahun ini TV AlHijrah bawakan pendakwah yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Dato’ Hj Shamsuri Ahmad untuk memandu perbahasan Kitab Bahrul Mazi, yang merupakan huraian Syeikh Idris al-Marbawi terhadap hadis Rasulullah SAW yang dipilih daripada kitab Sunan al-Tirmidzi. Program ini akan bersiaran setiap hari Selasa jam 8:30 malam.
Namanzee turut berkongsi, selain boleh dinikmati di platform televisyen dan aplikasi AlHIjrah Plus, rancangan terbaik stesen ini turut boleh dinikmati pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).
Alhamdulilah, kini rancangan-rancangan terbaik TV AlHijrah turut boleh dinikmati para penumpang yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) untuk perjalanan utara ke selatan tanah air dan sebaliknya.
Bukan itu sahaja, untuk pastikan penumpang perkhidmatan ETS menikmati pengalaman dunia penyiaran di dalam perjalanan mereka, ETS Istimewa ini kita datangkan dengan look & feel program-program kita dari segi hiasan dalaman mahupun luaran.
Saya cadangkan, ambil masa, berkelanalah bersama yang tersayang menaiki ETS TV AlHijrah. Semakin banyak tempat dijejak, semakin banyak yang dipelajari serta semakin banyak pengalaman dilalui.
Untuk info, aplikasi AlHijrah Plus yang memiliki lebih 8,000 kandungan tersedia dan secara langsung juga telah dimuat turun oleh 100,000 pemuat turun dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.