Ramai yang tidak sedar bahawa penyakit asma mampu meragut nyawa dalam sekelip mata. Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, jumlah penghidap penyakit asma di Malaysia dianggarkan kira-kira 1.6 hingga 2 juta. Lebih menakutkan, pesakit asma tidak mengambil serius tentang ubat dan rawatan terhadap penyakit itu.
Menerusi Facebook Dr Kamarul Ariffin, dia memberikan penjelasan mengenai ubat pam asma yang mungkin ramai tidak tahu. Di samping itu, dia turut menjawab persoalan netizen berhubung ubat pam asma dan penyakit jantung. Jom baca!
Ubat pelega paling berkesan
“Doktor betul ke ubat pam/sedut asma tu boleh sebabkan sakit jantung?” Ada beberapa orang tanya saya berkenaan perkara ini hari ini. Mungkin ada sesuatu yang viral berkenaan hal berkenaan. Saya seorang penghidap asma. Ibu saya, adik beradik saya, malah anak-anak saya juga begitu. Bila ada serangan asma, benda pertama kami cari adalah MDI Salbutamol. MDI ni maksudnya, Metered Dose Inhaler (Penyedut Dos Bermeter). Mudah kata bila kita pam ubat penyedut ni, ia akan sembur dos ubat yang bersukat. Satu semburan mengandungi 100 mikrogram salbutamol.
MDI Salbutamol ini adalah ubat pelega serangan asma. Asma terjadi apabila salur pernafasan kita mengecut dan berkahak, lalu menyebabkan dda terasa sesak. Ubat salbutamol sedutan ini adalah antara ubat pelega yang paling berkesan megurangkan keadaan ini. Dos yang sepatutnya diambil oleh pesakit adalah tidak lebih 200 mikrogram x 4 kali sehari. 200 mikrogram tu bersamaan dua pam. Jika dah 2 pam x 4 kali, tapi masih tak lega sesak nafas, perlu ke klinik. Jangan ambil lebih! Bahaya untuk teruskan ambil.
Ikut nasihat doktor
Jumpa doktor dahulu untuk diperiksa sebelum teruskan ambil MDI Salbutamol. Selepas jumpa doktor, ikut apa dia saran. Kalau dia kata boleh ambil lebih 4 kali, baru ambil lebih. Salbutamol ini, boleh menyebabkan tangan terketar-ketar(tremor) dan degupan jantung jadi laju(tachycardia). Itu kesan sampingan yang agak lazim. Kesan sampingan yang sangat langka(rare) pula adalah masalah arritmia(degupan jantung tak sekata). Sangat langka tu bermaksud 1/10,000 (sumber: GSK Ventolin Evohaler leaflet)
Jika dalam seminggu, lebih 2 hari anda perlu ambil MDI Salbutamol, anda dah perlu ambil ubat pencegah/pengawal asma, contohnya sedutan corticosteroid. Tak boleh berterusan ambil MDI Salbutamol(pelega) sahaja kerana anda dah dikategorikan asma tidak terkawal. Adakah MDI salbutamol menyebabkan masalah jantung? Risiko aritmia 1/10,000. Sangat jarang berlaku, terutamanya jika ambil ubat mengikut saranan doktor dan farmasis.
Penyelamat ketika serangan bermula
MDI Salbutamol adalah pelega awal, atau penyelamat ketika serangan bermula. Jika ada serangan, ambil segera! Ia boleh elakkan serangan jadi parah. Jika anda perlu MDI Salbutamol lebih 2pam x4 sehari, atau lebih 2 hari seminggu, anda dah perlu dapatkan konsultasi doktor berkenaan kaedah pengawalan, bukan hanya pelega. Selain itu, masalah jantung juga boleh berupa seperti asma. Jadi, kadangkala kita sangka asma, rupanya masalah jantung. Mohon kongsikan, agar penghidap asma tak ragu-ragu untuk ambil MDI Salbutamol, dan tak lengahkan jumpa doktor bila asma tak terkawal. Semoga bermanfaat!
Sumber: Dr. Kamarul Ariffin