berita

UiTM Pahang Adakan Konvokesyen Secara Janji Temu, Graduan Rasai ‘Suasana’ Graduasi

December 3rd, 2020 | by Aizzat
Kini Trending

Disebabkan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan dan menular di Malaysia, ramai pelajar yang bersedih kerana tidak dapat rasai suasana konvokesyen atau graduasi di tempat belajar. 

Baru-baru ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang mengadakan Majlis Penganugerahan Diploma dan Ijazah secara janji temu selama tiga hari bermula 1 Disember.

Berpeluang merasai pengalaman majlis konvokesyen

Berikut merupakan video aliran majlis konvokesyen secara janji temu ini dijalankan. Konvokesyen secara janji temu ini merupakan salah satu kaedah bagi menggantikan Majlis Istiadat Konvokesyen yang ditangguh akibat penularan pandemik Covid-19. Seramai 270 graduan berpeluang merasai pengalaman  seperti majlis konvokesyen apabila majlis itu diadakan di Dewan Indera Segara, UiTM Jengka.

Majlis ini juga diadakan bagi meraikan pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka di peringkat ijazah dan diploma terdiri daripada pelajar UiTM seluruh Malaysia tetapi tinggal di Pahang. Pelajar yang terlibat dalam majlis konvokesyen ini hanya daripada zon hijau sahaja. 

Platform eratkan kasih sayang antara keluarga

Foto: YouTube

Menurut laporan Sinar Harian, Rektor UiTM Cawangan Pahang, Profesor Ts Dr Mohd Ilham Adenan berkata, UiTM mengambil langkah untuk melaksanakan majlis penganugerahan ijazah dan diploma secara janji temu ini untuk meraikan kejayaan pelajar-pelajar yang berjaya menamatkan pengajian setelah berusaha habis-habisan.

Majlis ini tidak hanya tertumpu untuk meraikan graduan, namun apa yang tersirat adalah ia turut meraikan ibu bapa yang pastinya gembira dengan kejayaan anak-anak mereka. Majlis ini dilihat sebagai platform tautan kasih sayang antara keluarga

Beliau juga berkata bahawa majlis ini dapat menjadikan hubungan antara keluarga lebih erat. Tambahnya lagi, penganugerahan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dipantau dengan ketat. 

Peluang merasai ‘suasana’ graduasi

Foto: Media Rasmi Universiti Teknologi Mara

Dalam majlis itu, graduan turut berpeluang memakai jubah konvokesyen, merakam gambar bersama keluarga dan menerima skrol serta transkrip.

Majlis itu juga akan diadakan di UiTM Cawangan Terengganu dan Kelantan. Bagi graduan yang tidak tersenarai di dalam jadual janji temu diminta menangguhkan kehadiran dan tidak dibenarkan hadir ke janji temu yang dijadualkan pada 5 hingga 7 Disember 2020 ini di UiTM Cawangan Terengganu.

Walau bagaimanapun, anda boleh membuat janji temu selepas 11 Mac 2021. Sesi fotografi akan dibuat di Studio UiTM Photo Centre, UiTM Shah Alam pada tarikh dan masa yang akan ditetapkan oleh pihak UiTM Photo Centre. 

Graduan dan ahli keluarga yang akan hadir janji temu mesti berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam tempoh 14 hari yang lalu dan tanpa gejala seperti demam, batuk dan selsema.

Sumber: Sinar Harian, Konvoksyen UiTM.

SKIP THIS AD ×