Anggota kumpulan UNIC, Bazli Hazwan, menyatakan bahawa isu melibatkan pihak penganjur atau pengurusan persembahan yang bermasalah bukanlah perkara baharu dalam industri muzik kerana situasi seumpama itu pernah dialami oleh rakan selebriti lain.

Artikel Berkaitan: Fitri Haris Syukur Bayaran Tertunggak Konsert ‘This Is UNIC’ Sudah Lunas

Artikel Berkaitan: Fitri Haris Buat Laporan Polis, Penganjur Konsert ‘This Is UNIC’ Didakwa Belum Lunaskan Bayaran

Trauma

Ketika ditemui OhBulan!, Bazli, 42, mengakui pengalaman yang dilaluinya bersama dua lagi anggota UNIC iaitu Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi, turut meninggalkan trauma, namun mereka menganggap setiap cabaran yang dihadapi sebagai pengalaman serta pengajaran berharga untuk masa depan.

Sebenarnya, isu begini sudah banyak kali berlaku dalam industri muzik.

Bukan terjadi kepada UNIC sahaja, tetapi rakan artis lain juga.

Ada juga kes yang senyap begitu sahaja.

Kami UNIC sebenarnya trauma dengan apa yang terjadi.

Tetapi kami anggap setiap masalah yang timbul adalah proses pembelajaran dan pengalaman.

Kata Bazli lagi, penyediaan dokumentasi yang lengkap dalam setiap urusan profesional perlu diberi perhatian serius kerana masih terdapat segelintir pihak yang memandang ringan perkara tersebut.

Dokumentasi sangat penting.

Artis kadang-kala terlepas pandang hal ini.

Penting untuk ada hitam putih, tandatangan perjanjian dan catatan rasmi.

Kalau perlu, ambil perunding perhubungan awam yang lebih pakar untuk menguruskan acara besar.

Bagi saya, orang luar tetap orang luar.

Baik macam mana sekalipun hubungan itu, dokumentasi bertulis wajib ada.

Sekali kita jumpa orang baharu, kita akan dapat ilmu dan ujian baharu.

Bazli berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Malam Qolbu di Royale Chulan The Curve, pada Isnin.

Lebih berhati-hati

Dalam pada itu, Bazli menjelaskan bahawa meskipun UNIC sebelum ini telah mematuhi prosedur persembahan yang ditetapkan, pengalaman yang dilalui membuatkan mereka kini lebih berwaspada ketika berurusan dengan mana-mana pihak.

Sebelum ini, kami sudah ikut prosedur persembahan yang betul.

Cumanya sekarang perlu lebih berhati-hati dengan individu yang hanya tahu menabur janji manis.

Kita jangan mudah terpedaya dan biarlah janji yang dibuat itu lebih realistik serta tidak terlalu tinggi.

Terdahulu, UNIC dilaporkan berdepan isu bayaran tertunggak susulan penglibatan mereka dalam konsert yang berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 20 Disember tahun lalu.