Semalam telah berlangsungnya majlis pelancaran filem terbaru terbitan Showbiz Productions berjudul ‘Kahwin 5’ bertempat di Cathay Cineplex Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Filem ini telah diterajui oleh barisan pelakon terkenal seperti Usop Wilcha, Fizz Fairuz, Soffi Jikan, Dian P.Ramlee, Anzalna Nasir, Norish Karman, Marsha serta Adrea Abdullah.
Menurut pelakon utama filem ini, Usop Wilcha atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri, 47 mengaku amat sukar untuk menghilangkan bayangan watak Usop di dalam filem terbarunya dan menyifatkan ia sebagai satu cabaran yang sangat besar.
“Di dalam filem ‘Kahwin 5’ ini saya telah memegang watak sebagai Dr. K di mana dia adalah seorang usahawan MLM yang berjaya dalam industri penjualan mangkuk plastik. Memang saya akui banyak cabaran yang harus saya hadapi untuk membawa watak Dr. K kerana saya harus keluar daripada bayangan karakter Usop Wilcha dan ia adalah satu perkara yang amat sukar.
“Meskipun begitu saya harus akur dan terima peminat sememangnya mengenali diri saya menerusi watak Usop itu sendiri dan kalau boleh saya tak nak watak Usop itu dibunuh.”
Mengulas lebih lanjut mengenai watak terbaru Syed, muncul juga persoalan mungkinkah karakter Dr. K akan mewujudkan satu lagi fenomena atau ‘trending’ baru di kalangan peminat-peminat industri hiburan tempatan?
Bukan hak saya untuk bercakap soal fenomena ini. Biarlah penonton dan peminat sendiri yang tentukan. Sekiranya karakter Dr. K menjadi satu lagi fenomena baru di kalangan peminat, saya anggap ia adalah rezeki.
“Sebelum ini hampir setahun lebih saya ‘cultural shock’ dan tak boleh terima hakikat orang panggil saya dengan panggilan Usop Wilcha. Sampai pergi mana-mana semua orang kenal saya,” komen Syed mengenai watak terbarunya.
Dalam kesempatan yang ada, Syed turut mengumumkan dia bakal mengundurkan diri daripada stesen radio Hot.fm dan ingin memberikan tumpuan dalam bidang lakonan.
“Umur macam saya memang tak berapa sesuai untuk menjadi penyampai radio. Tujuan saya masuk Hot.fm pun sebab ingin mencuba sesuatu yang baru dan tambah pengalaman.”
Mungkin selepas berhenti daripada Hot.fm banyak spekulasi yang akan timbul tetapi saya tak kisah dengan semua itu. Terpulanglah orang nak cakap macam-macam sebab itu adalah hak masing-masing dan kita tak boleh menyekat segala tohmahan tersebut.
Untuk makluman, kontak antara Syed dan pihak Hot.fm sepatutnya berakhir pada bulan Jun tahun hadapan, bagaimanapun pelakon ini telah membuat keputusan untuk bersara lebih awal kerana bimbang tidak dapat memberikan sepenuh komitmennya dalam bidang tersebut.