Ketua Pegawai Eksekutif, Kembara Sufi Sdn Bhd, Ustaz Muhammad Al-Fadzil Hidzir sentiasa memastikan setiap naskah yang diterbitkan daripada rumah produksinya akan menjaga sensitiviti masyarakat dan nama baik syarikat.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Netizen Dakwa Babak Bercium Daiyan Trisha & Hun Haqeem Keterlaluan – ‘Dah La Dua-Dua Pelakon Muslim’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Drama Lakonan Amir Ahnaf Dikecam, Didakwa Ada Adegan Wanita ‘Projek’ Bawah Meja
Ditonton ramai orang
Menurut Ustaz Al-Fadzil, pihaknya sangat meneliti penulisan skrip serta babak-babak yang dilakonkan agar tidak keterlaluan sehinggakan boleh timbul masalah di kemudian hari.
Katanya lagi, ini termasuk sekiranya penggambaran diadakan di luar negara contohnya di Tanah Suci Makkah.
Penelitian terhadap pembikinan skrip memang amat penting, lebih-lebih lagi apabila melakukan penggambaran di Tanah Suci. Ada adab yang perlu kita jaga. Bukan hanya di Tanah Suci saja, tetapi di negara sendiri juga.
Sebab sesebuah karya yang dihasilkan akan ditonton oleh ramai orang. Mereka yang menonton televisyen bukan sahaja golongan dewasa tetapi termasuk kanak-kanak.
Jika ada babak yang tidak ditapis hingga ada kata-kata yang tidak baik ia boleh menjadi satu ikutan dan mungkin akan timbul masalah. Jadi bagi saya, skrip yang nak dikeluarkan itu perlu dijaga dan ditapis.
Termasuklah soal adegan yang ingin dibuat perlu menjaga sensitiviti. Saya juga ada berbincang dengan produksi kalau boleh adegan yang keterlaluan tak ada pun tidak mengapa. Ada pelbagai cara yang boleh kita adaptasikan untuk jadikan ia lebih baik.
Dalam pada itu, Ustaz Al-Fadzil memberitahu dia mempunyai perancangan untuk menghasilkan satu filem berkisarkan Islamik.
Perancangan untuk menerbitkan filem itu ada tapi kami masih mencari kandungan yang terbaik. Kalau boleh saya nak jalan cerita itu berkisarkan Islamik seperti kebanyakan filem cinta Indonesia yang berjaya mencipta fenomena luar biasa.
Ustaz Al-Fadzil berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd, baru-baru ini.
Jadi syarikat paling banyak bawa pelancong
Bercerita mengenai cabaran sepanjang 10 tahun usia Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd, Ustaz Al-Fadzil akui fasa pandemik Covid-19 turut memberi impak kepada bisnes pelancongannya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana mempunyai rumah produksi serta bisnes lain yang boleh membantu menampung sepanjang tempoh kritikal itu.
Kami bermula sebagai peneraju pakej pelancongan dengan kadar yang berpatutan dan alhamdulillah kita menjadi syarikat yang paling banyak bawa kumpulan pelancong ke luar negara.
Kemudian kami perlahan-lahan menceburi cabang bisnes baharu seperti menubuhkan syarikat produksi dan beberapa perniagaan lain bagi memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai.
Tidak dinafikan, ketika dalam fasa pandemik Covid-19, bisnes kecil inilah yang membantu dan menyokong meneruskan survival Kembara Sufi.
Selain itu, Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd juga akan membuka pakej pelancongan ke tempat-tempat yang ‘rare’ serta jarang dilawati.
Kami akan membuka pakej ke tempat yang baru seperti ke tasik yang terletak dalam sebuah kampung. Kita akan membawa pelancong-pelancong ke kawasan yang jarang dibawa agensi.
Saya cadangkan kepada orang ramai yang ingin pergi bercuti untuk menempah awal kerana trip tahun depan sudah penuh.