berita

Utusan Akan Terus Beroperasi, Harga Akhbar Naik 50sen

August 21st, 2019 | by Amat
Kini Trending

Tular khabar mengenai syarikat akhbar, Utusan (Melayu) Berhad akan ditutup gara-gara mengalami masalah kewangan sehingga didakwa tidak mampu untuk membayar gaji pekerja. Rata-rata pihak bersedih mendengar khabar berita ini dan sedaya untuk membantu kembalikan Utusan. Pelbagai usaha yang dilakukan termasuklah memberi peluang pekerjaan kepada staf di sana dan bantuan derma disalurkan.

Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu, Abd Aziz Sheikh Fadzir berusaha untuk meneruskan perniagaannya itu. Namun, terdapat kenaikkan harga jualan bagi akhbar harian termasuk Utusan Malaysia dan Kosmo!

Bantulah kami

Susulan kepada harga jualan akhbar baharu ini, Utusan Malaysia akan dijual pada harga RM2.00 manakala Kosmo! pula pada harga RM1.50 mulai hari Jumaat ini. Abd Aziz juga merayu kepada pelbagai pihak untuk membantu menstabilkan semula ekonomi syarikat tersebut.

Saya minta rakyat yang bersimpati kepada Utusan (Melayu), bantulah kami, beli surat khabar, beli iklan dengan kami.

Tambahnya, Utusan Melayu juga memerlukan masa yang agak lama untuk mengimbangi kos operasi syarikat berkenaan.

Kerugian RM3 juta setiap bulan

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu turut mengulas lanjut mengenai sebab kenaikkan harga kedua-dua akhbar.

Daripada peningkatan ini dan berdasarkan anggaran akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! masing-masing terjual sebanyak 50,000 dan 100,000 naskah sebulan, kita jangka ia akan menyumbang kira-kira RM2.3 juta sebulan kepada Utusan.

Berdasarkan laporan terakhir kepada Bursa, kita mengalami kerugian RM3 juta setiap bulan, namun hasil jualan akhbar ini dijangka mengurangkan defisit kita kepada RM750,000 sebulan.

Abd Aziz juga yakin kewangan syarikat ini akan kembali stabil dalam sekitar tahun 2020 hingga 2021 sekiranya berjaya melupuskan beberapa aset, meningkatkan pendapatan pengiklanan dan pertambahan pembaca kedua-dua akhbar Bahasa Melayu itu.

Kita harap sentimen untuk membantu Utusan dan semangat untuk memastikan Utusan terus beroperasi selepas 80 tahun dalam kalangan masyarakat ketika ini akan diterjemah dengan pembelian kedua-dua akhbar ini walaupun harganya naik.

Mampu membayar gaji pekerja mengikut masa

Susulan dari isu tunggakan gaji pekerja di situ, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu ini bersetuju untuk membayar RM2,000 kepada 800 kakitangan Utusan sebagai penyelesaian jangka pendek dan tiada jaminan khusus bagi jangka panjang.

Kita terpaksa naikkan harga akhbar dan jika jumlah pembaca kekal atau bertambah, di samping penjualan aset diselesaikan, kita yakin akan mampu membayar gaji pekerja mengikut masa.

Tambahnya lagi, jumlah tunggakan gaji dan bayaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) adalah hampir RM10 juta, iaitu lebih RM3 juta bagi gaji dan RM6 juta bagi VSS.

Utusan digital

Bagaimanapun, syarikat ini akan juga beralih ke konsep digital (media sosial) demi memasarkan lebih berita.

Langkah ini diteruskan walaupun syarikat akhbar berada dalam situasi sukar termasuk beralih ke media sosial. Kita hadapi masalah tapi ada pelan meningkatkan perniagaan.

Sumber: MalaysiaKini, Metro

SKIP THIS AD ×