Penyanyi Azizul Khamis gagal menahan air mata apabila terkenang semula pertemuan terakhirnya bersama Allahyarhamah Rohana Jalil, pada Ahad lalu.
Artikel Berkaitan: ‘Rohana Jalil Seorang Biduanita Yang Betul-Betul Menyanyi, Bukan Palsu’ – Herman Tino
Artikel Berkaitan: Haiza Hanafi Ingat Pesan Rohana Jalil -‘Jaga Penampilan, Walau Show RM500 Kena Presentable’
Solat jemaah bersama
Ketika ditemui OhBulan!, Azizul berkata dia menerima panggilan telefon daripada anak arwah yang juga penyanyi Kilafairy pada hari tersebut dan memaklumkan keadaan ibunya semakin merosot sebelum dia bergegas ke hospital.
Kongsi Azizul, dia sempat menunaikan solat berjemaah bersama arwah dan akui sebak apabila teringat semula momen yang cukup bermakna itu.
Saya memang selalu pergi jenguk dia di hospital, kali terkahir pergi tengok hari Ahad (18 Jun 2023). Saya sempat urut kaki dia, sebab dia kata saya urut sedap.
Saya dapat panggilan dari anak dia, beritahu keadaan Kak Ana (Rohana Jalil) bercakap dah tak berapa jelas. Tanpa fikir panjang terus saya pakai baju dan pergi. Sampai di hospital saya ajak dia solat, dia jawab nak solat bersama tapi mata terpejam.
Habis solat kami baca doa, ketika sedangkan amin doa, dia pun ikut amin. Kemudian dia ucap terima kasih sangat-sangat dengan saya. Dia kata lama dah tak solat. Memang sebak sangat waktu itu, bila teringat pun saya jadi sedih.
Saya kehilangan seorang kakak yang sangat baik, dia sangat peramah dan periang. Walaupun reda tetap rasa sedih bila kehilangan.
Azizul berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Masjid Al-Falah USJ 9 di mana tempat Allayarham Rohana Jalil disolatkan, pada Rabu pagi.
Baca Al-Quran
Dalam pada itu, Azizul turut mendedahkan amalan yang sering dilakukan arwah setiap malam iaitu membaca Al-Quran.
Saya kadang-kadang telefon dia bila lewat malam untuk tanya khabar. Bila saya tanya tengah buat apa, dia jawab tengah bertelekung. Saya soal dia lambatnya solat, dia jawab bukan solat tapi tengah baca Al-Quran. Itu lah amalan dia setiap malam.
Sementara itu, Azizul menyifatkan arwah sebagai seorang yang pemurah kerana sering meminjamkan wang kepadanya ketika mereka pernah bersama-sama memenuhi undangan nyanyian suatu ketika dahulu.
Ada ketika kami pergi road tour ikut Kombo DBKL buat persembahan, saya cakap tak cukup duit, dia akan hulur untuk beri pinjam. Kami buat persembahan sampai Alor Setar, Perli dan banyak lagi. Dia sangat pemurah dan baik hati, tak kedekut pun.
Terdahulu, Allahyarham Rohana Jalil atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil, 68, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kira-kira jam 11.33 malam Selasa.
Rohana yang popular menerusi lagu Rayuanku itu telah dirawat di hospital sejak April lalu disebabkan kebocoran usus dan terpaksa diletakkan di wad pemantauan.
Untuk info, arwah mendirikan rumah tangga dengan Jahangir Khan pada 1984 dan dikuniakan tiga orang cahaya mata termasuk pelakon dan penyanyi, Kilafairy.