Isu seorang penuntut sebuah universiti tempatan yang didakwa memijak al-Quran dan memuat naik perbuatannya di media sosial baru-baru ini mencetuskan kemarahan ramai, lebih-lebih lagi berlaku dalam bulan Ramadan.

Pendakwah bebas, PU Riz tampil memberikan pandangan tegas berhubung insiden tersebut dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan besar terhadap agama Islam.

Artikel Berkaitan: PU Riz Buka Ruang Bantu Insan Memerlukan Ramadan Ini – ‘Sedia Belanja Makan & Minum 20 Orang Setiap Hari’

Artikel Berkaitan: PU Riz Respon Komen Netizen ‘Pergi Tegur Adik-Adik Dulu’ – ‘Tidak Pernah Kita Setuju Dengan Maksiat’

Menyakitkan umat Islam

Menerusi sebuah video di Instagram (IG), PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail, berkata perbuatan tersebut bukan sahaja mencetuskan kemarahan, malah amat menyedihkan.

Baru-baru ini ada viral ada seorang individu yang memijak Al-Quran dan ini adalah perkara yang sangat menyakitkan hati umat Islam.

Dan orang itu bukan saja memijak Al-Quran, dia juga memuatnaik perkara yang dibuat itu di media sosial. Itu juga satu penghinaan terbesar pada satu orang yang lain dalam konteks agama.

Kalau kalian tidak rasa marah atau geram, kalian bukan orang yang normal, jujur apa yang saya katakan.

Tegas PU Riz, 30, setiap agama mempunyai batas dan prinsip yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Apa yang kita diajar supaya kita tidak melanggar perimeter yang ada antara satu agama dengan agama yang lain.

Jangan kamu menghina agama yang menyembah selain daripada Allah. Itu adalah prinsip dan fahaman kita. Ini satu perkara menyedihkan sebab ada individu yang sengaja.

Suami kepada usahawan, Noor Neelofa itu turut mengimbas beberapa insiden lampau yang pernah mencetuskan sensitiviti agama, selain menekankan bagaimana pihak terlibat ketika itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka sebagai tanda tanggungjawab dan menghormati perasaan masyarakat.

Dalam hal ini juga apabila orang memijak Al-Quran, jiwa kita bergelora apabila melihat perbuatan itu. Tindakan telah diambil, disiasat dan akan didakwa di mahkamah dalam tempoh beberapa waktu.

Tidak ada apa-apa yang boleh menyakitkan hati seseorang melainkan dia memburuk-burukkan agama seseorang itu.

Pegang prinsip 3R

Dalam pada itu, PU Riz menekankan sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk, sikap saling menghormati perlu menjadi asas utama dalam mengekalkan keharmonian negara.

Kalau kita tengok 3R, ia telah melanggar secara jelas. Apabila sentuh agama seseorang, ia menyakitkan hati dan akan menjadi kacau-bilau.

Sebagai rakyat Malaysia, saya menyeru kepada semua agama, tidaklah kita menyakiti hati bangsa atau agama lain kerana kalaulah agama kita tidak dapat hormati pada seseorang itu, apa lagi kita boleh hormat seseorang itu.

Sebab agamalah yang membawa pendidikan akhlak, bawa seseorang tunduk dan taat perintah Allah. Agama juga menjadikan seseorang itu ‘governed by the law in the society’.

Jadi kalau kita tidak ambil pendekatan ini untuk menstabilkan hubungan antara kita, ia akan berlarutan dan mungkin peristiwa buruk akan berlaku.

Semoga Malaysia didoakan dalam keadaan aman damai dan semoga Allah mengangkat institusi Islam di kemuncak dan kestabilan mengamalkan agama di negara ini dikekalkan.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang pengguna Thread didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran sehingga mencetuskan rasa marah dalam kalangan umat Islam.

Individu tersebut yang didakwa merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kemudiannya memohon maaf kerana memuat naik gambar tersebut.

Sumber: Instagram