Pempengaruh yang dikenali sebagai BraderWheelchair tidak sangka dirinya menjadi antara dua pempengaruh yang dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori khas di Anugerah berprestij TikTok Awards Malaysia 2024 iaitu kategori ‘Changemaker Of The Year’.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pinn Yang Anggap Kemenangan Di TikTok Awards 2024 Satu Momen Bermakna, Nak Sumbang RM50k & Rancang Buat Kenduri Bersama Peminat
Tak sangka terpilih!
Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Nur Izhar Idham ini juga meluahkan rasa syukur kerana ‘content’ yang dilakukannya mengenai golongan kelainan upaya (OKU) mendapat perhatian platform TikTok.
Alhamdulillah atas anugerah yang diberikan ini.
Sejujurnya saya tak sangka ada pihak yang hargai apa yang saya cuba sampaikan melalui ‘content’ iaitu untuk memberi kesedaran dan mengajar tentang kepentingan fasiliti serta kemudahan bagi golongan kelainan upaya (OKU) dalam Malaysia.
Tambah pempengaruh berusia 38 tahun ini, setiap ‘content’ yang dibuat hanyalah bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang komuniti melibatkan OKU terutama sekali buat mereka yang menggunakan kerusi roda.
Saya memberikan inspirasi adalah kerana untuk menyampaikan mesej bahawa golongan OKU seperti saya ini juga berupaya untuk kedepan dan membuat ‘content’ yang bermanfaat.
Apa yang saya buat selama ini ialah nak sampaikan bahawa banyak kemudahan buat golongan OKU ini sebenarnya disalahgunakan oleh sesetengah pihak.
Jadi, saya gunakan kelebihan yang ada pada saya ini untuk membantu komuniti OKU terutama sekali buat mereka yang berkerusi roda.
Ketika ditanya bagaimana timbulnya idea untuk menghasilkan video kandungan yang memberikan inspirasi, Izhar memaklumkan permintaan daripada rakan membuatkannya terdetik untuk memberikan kesedaran melalui platform TikTok.
Idea ini mula timbul selepas kawan-kawan minta saya untuk kongsikan tentang aktiviti harian saya serta tips untuk berdikari walaupun dengan menggunakan kerusi roda.
Dan saya lihat, TikTok merupakan satu platform yang boleh membantu saya untuk menghasilkan video yang memberikan manfaat kepada orang ramai.
Izhar berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada TikTok Awards Malaysia 2024 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC), malam tadi.
Kecewa fasiliti OKU dianaktirikan
Sementara itu, Izhar sempat meluahkan kekecewaannya terhadap fasiliti dan kemudahan buat golongan OKU yang dilihat seakan ‘dianaktirikan’ pihak bertanggungjawab.
Saya harap fasiliti tidak dianaktirikan. Sebagai contoh, apabila saya cuba tekankan mengenai sesuatu isu pasti akan ada pihak autoriti yang akan ‘counter’ balik dengan mengatakan bahawa sesetengah fasiliti dibaik pulih kerana tidak digunakan golongan OKU.
Kalau anda perasan, sistem monorel di negara kita ada masalah ‘stair lift’ dari stesen pertama hingga ke stesen kesebelas yang sudah bertahun-tahun tidak diselenggara.
Kalau nak kata terlepas pandang, pihak yang berkenaan sebenarnya tahu akan masalah ini cuma tiada tindakan yang dilakukan.
Justeru, dia berharap agar segala kerosakan terhadap fasiliti dan kemudahan itu dapat diselenggarakan bagi kemudahan bersama.
Jadi saya berharap pihak-pihak yang berkenaan ambil serius dengan masalah ini.
Ini kerana, fasiliti dan kemudahan ini bukan untuk golongan macam saya saja tetapi buat golongan orang tua, ibu mengandung bahkan untuk ibu bapa yang membawa ‘stroller’ bersama anak.
Sekadar info, Izhar merupakan antara dua pempengaruh yang dipilih untuk memenangi kategori khas ‘Changemaker Of The Year’ kerana banyak memberikan inspirasi melalui kandungan yang dihasilkan di TikTok.