Isteri kepada pendakwah selebriti Da’i Syed, Hana Ismail mengakui emosinya tidak begitu stabil selepas mengalami keguguran pada Julai lalu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Inilah Nikmat Sebuah Kehilangan’ – Genap Seminggu Hana Ismail Berpantang Akibat Keguguran
‘Saya bukan malaikat’
Ketika ditemui OhBulan!, Hana atau nama sebenarnya Nurulhana Binti Ismail, 37, berkata dia agak terkilan dengan fitnah yang dilemparkan terhadap suaminya, Da’i Syed sehingga menyifatkan keguguran yang dialaminya sebagai satu kifarah atas apa yang telah berlaku.
Dan sebenarnya sampai sekarang memang saya rasa sedih dengan apa yang berlaku. Kurang sebulan saya jalani proses berpantang.
Walaupun saya nampak sihat fizikal, tetapi dalaman saya tu hanya Allah yang tahu. Ada masanya saya okay, ada masanya saya tak okay.
Mungkin naluri ibu itu sudah ada jadi kadang-kadang saya rindu, rindu nak hamil.
Ditambah lagi dengan situasi ini, dia sangat mengganggu emosi saya.
Hana berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media tergempar yang diadakan di Eastin Hotel, Petaling Jaya pada petang Isnin.
Sementara itu, pengacara berusia 37 tahun berpendapat ini bukan waktu yang tepat untuk individu tersebut mengeluarkan fitnah.
Bila saya berkahwin dengan Syed, saya dah bersedia dengan isu-isu yang bakal dibangkitkan susulan kesnya sebelum ini.
Tapi mungkin waktu yang digunakan si pelaku untuk memuat naik video tersebut kurang tepat dan tidak wajar sebenarnya.
Lagi-lagi di waktu saya masih dalam fasa penyembuhan. Jadi bila berlakunya perkara ini, saya rasakan ia satu benda yang tidak wajar dan satu penganiayaan dan kezaliman terhadap saya.
Syukur ramai beri semangat
Dalam pada itu, Hana meluahkan rasa syukur kerana ramai ahli keluarga serta kenalan yang sentiasa memberikan semangat selepas mengalami keguguran beberapa minggu yang lalu.
Alhamdulillah saya ada suami, ibu ayah saya, keluarga mentua yang sentiasa memberikan saya semangat.
Tidak lupa juga dengan kenalan dan orang ramai yang baik-baik yang mendoakan saya.
Terdahulu, seorang individu yang dikenali Nurul Atiqah dilihat memuat naik keratan video mengenai kes rogol yang membabitkan Da’i Syed dengan menggunakan nama @chempakasuri97 di TikTok beberapa hari yang lalu.
Wanita yang mendakwa mangsa rogol kepada pendakwah itu juga turut mengaitkan kehilangan anak dalam kandungan kepada isterinya sebagai kifarah di atas perbuatannya sebelum ini.
Sekadar info, Syed Shah Iqmal atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed pada 10 Disember 2020 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun (ketika itu) dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Okt 2020.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi kes menggunakan kekerasan jenayah, pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan