Pelakon jelita, Hannah Delisha akan meminta izin suaminya, Imam Shah terlebih dahulu untuk melakonkan babak bersentuhan dalam mana-mana drama yang dibintanginya.
Artikel Berkaitan: Hannah Delisha Rancang Nak Ada Anak Sebelum Umur 30 Tahun – ‘Sebab Perempuan Punya Badan Berbeza’
Akan cuba terbaik untuk elak
Ketika ditemui OhBulan!, Hannah berkata, dia juga akan berbincang dengan pihak produksi terlebih dahulu dan akan cuba sedaya upaya mengelakkan diri daripada melakonkan babak bersentuhan.
Walau bagaimanapun, pelakon filem ‘Langsuir’ ini mengakui tidak dapat mengelak sekiranya sesuatu babak itu memerlukannya untuk bersentuhan.
Sudah tentu saya ada minta izin suami.
Sebagai seorang pelakon, kalau boleh elak, kita elakkan (babak bersentuhan).
Tapi kalau babak itu macam tak ada pilihan, tersentuh sebab kadang-kadang kita tak sengaja.
Macam contoh babak itu saya kena pengsan dan pelakon kena angkat saya, perkara seperti itu memang kita tak boleh elak.
Tapi apa-apa pun memang saya akan bincang terlebih dahulu, kalau boleh elak memang akan elak.
Hannah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di set lokasi penggambaran drama ‘Dendam Seorang Madu’ bertempat di sebuah kediaman mewah di Shah Alam pada Rabu.
Sementara itu, pemilik nama Hannah Adlina Blackburne Birch ini meluahkan rasa ingin tahu mengapa soalan mengenai babak bersentuhan hanya ditanyakan kepada pelakon yang mengenakan hijab.
Cuma saya macam pelik kenapa soalan seperti ini selalu ditujukan kepada (pelakon) wanita yang berhijab.
Kenapa tak nak tanya kepada mereka yang tidak berhijab?
Adakah mereka boleh bersentuhan?
Masih dalam fasa mencuba
Dalam masa yang sama, pelakon berusia 29 tahun ini memaklumkan dirinya masih lagi dalam fasa percubaan untuk berubah ke arah kebaikan.
Ujar Hannah, dia merancang untuk tidak lagi terlibat dalam dunia lakonan sekiranya mengambil keputusan untuk berhijrah sepenuhnya satu hari nanti.
Saya masih lagi mencuba dan berhijab ini merupakan langkah yang saya sendiri pilih tanpa paksaan dari sesiapa.
Dan kalau saya betul-betul berhijrah satu hari nanti, saya memang tak nak berada dalam industri dan berlakon lagi.
Pada saya itu adalah yang terbaik.