Pelakon dan pengacara, Imran Aqil berkongsi berita gembira mengenai isterinya, Dahlia Rizal yang kini sedang hamil anak pertama mereka.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Syukur Dapat Miliki Dahlia Rizal, Imran Aqil Patuh Pesanan Isteri – ‘Dia Suruh Jawab Tak Nak Kalau Isu Poligami’
Dahlia makin sihat
Ketika ditemui OhBulan!, Imran atau nama lengkapnya Muhammad Imran Aqil Mohd Salehuddin berkata, Dahlia berada dalam keadaan yang baik meskipun dimasukkan ke hospital baru-baru ini selepas pengsan di sebuah restoran.
Alhamdulillah, Dahlia bertambah sihat cuma baru-baru ini, dia dimasukkan ke hospital selama dua malam kerana kekurangan gula dalam badan dan tekanan darah rendah sehingga pengsan di sebuah restoran.
Alhamdulillah, kandungan juga okay.
Saya juga banyak nasihatkan dia untuk ambil ‘job’ yang tidak terlalu berat.
Imran berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi sidang media Tayangan Perdana Ramadan Raya Astro 2025 yang diadakan di The Ground, Kuala Lumpur pada Khamis.
Dahlia makin ‘clingy’
Bercerita lanjut mengenai keadaan Dahlia, bekas peserta program Hero Remaja ini meluahkan rasa syukur kerana isterinya itu tidak mengalami alahan teruk sepanjang kehamilan.
Alhamdulillah, setakat ini Dahlia tiada sebarang alahan bahkan dia juga tidak ada alahan dengan saya.
Itu pun saya takut juga sebab sesetengah orang ada alahan tak boleh bau suami tapi Alhamdulillah tak ada. Cuma makin ‘clingy’ itu adalah.
Bercakap mengenai persediaan, Imran memaklumkan dirinya dan isteri sedang merancang untuk membeli rumah yang lebih besar demi keselesaan bayi yang bakal dilahirkan.
Untuk persediaan, kami sedang mencari rumah yang lebih besar sebab kita nak meraikan anak dengan suasana yang lebih selesa dan luas.
Kalau persediaan bergelar bapa, saya ada juga nak daftar kelas tapi mak saya sendiri kata, ‘Biar dia yang ajar’.
Terdahulu, ramai yang mendakwa Dahlia Rizal kini hamil anak pertama selepas bentuk badannya kelihatan berisi sewaktu menghadiri sebuah majlis bersama Imran.
Sekadar info, Imran dan Dahlia telah selamat mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Villa Istana Ayer Keroh Melaka, pada September tahun lalu.